ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah meminta kerajaan persekutuan membayar pampasan sebanyak RM100 juta sekiranya mahu penebangan balak di negeri itu tidak dilakukan.
Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pampasan itu sebenarnya pernah dijanjikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri, namun tidak pernah ditunaikan hingga kini.
“Kalau bising sangat (mengenai penebangan balak), bayar kami RM100 juta…hutan hak Kedah…lagipun tak tebang kawasan tadahan air, kawasan hutan simpan saja tebang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini Rabu.
Bagaimanapun, beliau berkata perjanjian oleh Dr Mahathir itu hanya dibuat secara lisan manakala Menteri Besar Kedah sebelum ini tidak pernah menuntut janji berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Azizan sekali lagi menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak akan dibubar selagi Perdana Menteri tidak membubarkan Dewan Rakyat.
“Saya takkan bubar, saya ada strategi. Saya tunggu isyarat pusat, tak boleh sesuka hati bubar,” katanya dan menurutnya manifesto pilihan raya umum kerajaan negeri sudah siap.
Sementara itu, Azizan memberitahu tempoh lantikan Exco sedia ada akan berakhir 28 Feb ini dan upacara angkat sumpah dijangka diadakan pada 24 Feb ini, mengikut kelapangan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah. – BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment