MP Sepang Tiada Kuasa Buka Tiang, Kamera AES

MP Sepang Tiada Kuasa Buka Tiang, Kamera AES

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuka tiang serta kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Peguam Alex De Silva, yang mewakili pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd, berkata MPS juga tidak boleh mengeluarkan apa-apa arahan atau perintah berkaitan kedua-dua lebuh raya.
Beliau berkata ini kerana Menteri Kerja Raya mewartakan Lebuhraya PLUS dan SKVE sebagai jalan persekutuan.
“Lebuhraya PLUS diwarta oleh menteri berkenaan sebagai jalan persekutuan pada 27 Disember 1988 manakala Lebuhraya SKVE pada 25 Jun tahun lalu.
“Sehubungan itu, MPS tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kedua-dua lebuh raya atau kuasa untuk mengeluarkan apa-apa notis berhubung perkara berkenaan,” katanya.
Alex berkata demikian ketika berhujah pada pendengaran permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan MP Sepang membuka dua kamera AES di kawasan perbandaran itu.
Beliau berkata, PLUS dan SKVE adalah konsesi lebuh raya di bawah kawalan serta pengurusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Katanya, Beta Tegap tidak mempunyai obligasi di bawah undang-undang untuk memohon kebenaran merancang mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Jadi, siapa yang mempunyai bidang kuasa itu? Hanya kerajaan Persekutuan boleh membuat undang-undang berkaitan jalan persekutuan,” katanya.
Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Beta Tegap bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan MPS yang difailkan 12 Disember lalu.
Dalam permohonan itu, Beta Tegap mendakwa MP Sepang, menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November tahun lalu, memutuskan syarikat berkenaan perlu memohon kebenaran untuk memasang tiang dan kamera AES di Kilometer 301.7 Lebuhraya Utara Selatan dan Kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan, kedua-duanya di Dengkil, Sepang.
MP Sepang, menerusi surat bertarikh 6 Disember, mengarahkan syarikat itu membuka tiang serta menutup kamera AES terbabit dalam tempoh 14 hari notis.
Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili MP Sepang berhujah permohonan Beta Tegap adalah salah tanggapan dan tidak mempunyai merit.
“Lebuhraya PLUS dan SKVE terletak di bawah bidang kuasa responden (MPS). Tiang serta kamera AES dipasang di atas tanah kerajaan dan sehubungan itu, berada di bawah bidang kuasa responden,” katanya.
Gobind juga berkata, MP Sepang sekadar menjalankan tugasan undang-undangnya mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dalam mengeluarkan notis berkenaan dan Beta Tegap diberikan masa yang mencukupi untuk mengambil tindakan bagi membetulkan kesalahan yang dilakukan di bawah akta itu.
Jabatan Peguam Negara, yang bertindak sebagai pencelah, pula berhujah berdasarkan peruntukan Seksyen 85(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Menteri Kerja Raya adalah pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk memberi kelulusan bagi pemasangan AES di jalan persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh juga berkata, hanya Parlimen diberi kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan perkara dalam senarai persekutuan, termasuk APJ.
“MP Sepang bertindak melebihi bidang kuasanya, dan notis sepatutnya dibatalkan atas alasan menyalahi undang-undang,” katanya.
Hakim Datuk Zaleha Yusuf kemudian menetapkan 21 Februari depan untuk keputusan. – BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story