Petronas Beri Keutamaan Kepada Bumiputera

Petronas Beri Keutamaan Kepada Bumiputera

PUTRAJAYA – Petronas ‘tersepit’ antara memperjuangkan objektif asasnya untuk meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera dan membuka perniagaan bagi penyertaan asing sejajar dengan rancangan globalisasi perniagaannya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata syarikat minyak negara itu sentiasa menyokong komuniti perniagaan tempatan terutamanya usahawan Bumiputera.
“Petronas dalam keadaan serba salah. Di sebelah pihak, ia diminta membuka ruang untuk penyertaan perniagaan luar manakala pada pihak yang lain, ia perlu menegakkan objektif penubuhannya untuk meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera.
“Apabila kita membukanya, syarikat-syarikat asing cenderung untuk mengatasi syarikat-syarikat tempatan dalam mendapatkan kontrak kerana mereka mempunyai portfolio yang lebih baik dan rekod prestasi yang telah terbukti,” kata Dr Mahathir, yang juga penasihat Petronas, dalam satu temu bual dengan Bernama.
Dr Mahathir berkata syarikat Bumiputera tempatan perlu diberi keutamaan oleh Petronas dalam memberikan projek.
“Bagi tujuan itu, Petronas, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang lain telah mengadakan perbincangan tentang bagaimana untuk menangani isu itu secara baik untuk mencapai bagi mencapai penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak.
“Jika kita hanya mencari syarikat-syarikat yang berkemahiran tinggi, pastinya syarikat-syarikat asing akan menjadi lebih baik daripada syarikat tempatan.
“Petronas akan sentiasa mengingati prinsip penubuhannya adalah untuk membantu syarikat tempatan, khususnya syarikat Bumiputera.
“Pihak pengurusan Petronas mempertimbangkan isu ini. Melalui perbincangan, ia akan menghasilkan rancangan yang baik,” kata beliau sebagai mengulas kenyataan gabungan pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang kecewa terhadap Petronas, dengan mendakwa semua kontrak utamanya telah diberikan kepada syarikat asing.
Mendakwa syarikat-syarikat tempatan yang sama berkelayakan tidak mendapat apa-apa kontrak, MTEM juga menuntut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas supaya bertanggungjawab di atas kegagalan itu dan perlu berundur.
MTEM juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya campur tangan dan memastikan kontrak Petronas dianugerahkan secara adil.
Petronas diperbadankan pada 17 Ogos, 1974 sebagai syarikat minyak nasional Malaysia, mendapat hak keseluruhan pemilikan dan kawalan sumber petroleumdi negara ini.
Syarikat berkembang daripada hanya menjadi pengurus dan pengawal selia sektor huluan Malaysia kepada syarikat minyak dan gas bersepadu sepenuhnya dan disenaraikan dalam Fortune Global 500 syarikat terbesar di dunia.– BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story