Korea Utara Lakukan Ujian Nuklear Paling Kuat

Nuklear

Seoul – Korea Utara semalam mendakwa berjaya melancarkan ujian nuklear paling kuat dengan ‘peralatan kecil’ mengingkari resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bantahan kuasa besar dunia termasuk sekutu rapatnya, China.
Negara itu berkata, ujian bawah tanah ketiga itu, yang dilakukan walaupun berdepan amaran tegas Majlis Keselamatan PBB, adalah tindak balas kepada apa yang disifatkannya permusuhan Amerika Syarikat.
Sambil menyifatkan ia hanya ‘langkah pertama’ Korea Utara memberi amaran akan melaksanakan tindakan lebih drastik jika dunia terus mengenakan sekatan ke atasnya.
Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan bahawa Pyongyang bakal memasang peledak nuklear kepada peluru berpandu balistik miliknya.
Pengesahan daripada agensi berita KCNA dibuat hampir tiga jam selepas layar gempa bumi mengesan gegaran luar biasa di kawasan ujian nuklear Punggye-ri, berhampiran sempadan China.
“Letupan semalam menghasilkan kekuatan antara enam hingga tujuh kilotan,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-Seok, kepada wartawan.
Ia adalah jauh lebih kuat berbanding ujian pada 2006 dan 2009, kedua-duanya menggunakan plutonium.
Bom atom yang digugurkan Amerika Syarikat di Hiroshima pada 1945, menghasilkan kekuatan letupan 15 kilotan.
Presiden Barack Obama mengutuk ujian terbabit dan menggesa tindak balas pantas dan berwibawa, ketika Majlis Keselamatan bersedia mengadakan mesyuarat.
Kecaman turut diterima dari negara lain termasuk Russia manakala Jepun melihat ujian itu sebagai ancaman besar kepada keselamatannya.
Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon mengecam ujian itu hari ini, manakala diplomat berkata Majlis Keselamatan akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan kemungkinan menguatkuasakan sekatan baru ke atas Pyongyang. – AFP


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story