Boleh Memasak, Syura Rancang Buka Restoran

Bukti Boleh Memasak, Syura Rancang Buka Restoran

KUALA LUMPUR – Juara MasterChef Selebriti Malaysia musim kedua, iaitu penyanyi Syura berazam untuk membuka sebuah restoran bagi membuktikan kepada segelintir penonton yang mempertikaikan kemenangannya dalam program tersebut.
Syura atau nama sebenar Zuraidah Badron, 27, berkata dia akan mengambil kursus kulinari bagi mendalami pelbagai teknik masakan terlebih dahulu.
“Saya terkilan menangis apabila membaca komen peminat di laman sosial yang mempertikaikan kemenangan saya dalam program ini.
“Saya ingin buktikan kepada masyarakat yang kemenangan ini adalah kerana saya benar-benar boleh memasak. Insya-Allah memang saya berniat untuk membuka restoran suatu hari nanti,” katanya.
Dalam rakaman rancangan itu yang disiarkan pada malam Selasa lalu, Syura berjaya menewaskan saingannya iaitu pengacara Celina Khor.
Kemenangan itu melayakkan Syura menerima wang tunai RM60,500 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Breast Cancer Welfare Association of Federal Territory
Jelas Syura, disebabkan spekulasi dan pertikaian tentang kemenangan tersebut, ia menguatkan lagi azamnya untuk membuktikan bahawa dia menceburkan bidang masakan bukan sekadar suka-suka.
Sementara itu, Syura berkata dia berazam untuk membawa ibunya Samsiah Mohamad, 52, menunaikan umrah dalam masa terdekat ini.
“Selepas saya masuk ke peringkat 10 terbaik, saya sudah bernazar untuk bawa ibu menunaikan umrah jika saya menang program ini.
“Tapi tunggu dia sihat sedikit kerana dia kini masih dalam rawatan kerana mengalami ketumbuhan di paru-paru,” katanya.
Sementara itu, Syura menganggap kemenangan ini menjadi pembuka laluan kepadanya untuk kembali aktif dalam industri hiburan selepas lama menyepi.
“Saya memang dalam rangka untuk kembali aktif menyanyi dan saya sebenarnya baru sahaja berpindah ke Kuala Lumpur.
“Sebelum ini saya menetap di Johor Bahru kerana mengikut suami yang bertugas sebagai guru, tapi atas rayuan kepada Kementerian Pendidikan permohonan suami diluluskan untuk mengajar di Kuala Lumpur,” katanya.
Syura mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Fadhly Mohd. Yassin, 32, dan memiliki tiga orang cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 6, Nurul Qaisara Sofea, 4, dan Muhammad Irfan Aryan yang berusia 18 bulan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli menafikan pihak produksi telah membocorkan keputusan pemenang sebelum rakaman kemuncaknya disiarkan pada malam Selasa lalu.
“Ia bukan keputusan bocor tapi ia hanyalah spekulasi sahaja, bukan hanya Syura yang dijangka pemenang tetapi ada juga segelintir yang menyatakan Celina yang bergelar juara.
“Pada saya itu adalah perkara biasa pada setiap program yang dibuat secara rakaman, kerana peminat masing-masing mahu selebriti mereka menjadi juara,” katanya.
Dalam pada itu Raqim berkata pihaknya akan lebih berhati-hati dan memperketatkan lagi kawalan dalam program rakaman rancangan itu pada masa hadapan.
Program sebanyak 40 episod itu disertai 19 selebriti tanah air dengan masing-masing diuji daripada aspek kebolehan memasak, kreativiti serta ketahanan fizikal dan mental di dapur.
Barisan selebriti yang menyertainya ialah Michael Ang, Sharifah Shahora, Kenchana Devi, Norish Karman, Cat Farish, Syanie Hisham, Lydiawati, Enot, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Datuk Aznil Nawawi, Sabhi Sadhi, Sathiya, Radhi OAG, Yassin Yahya, Afiq Muiz dan Keroz Nazri. – mStar

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story