ALOR SETAR – Seorang warga emas ditemui maut dalam satu kejadian samun yang dipercayai membabitkan pembantu rumahnya sendiri di kawasan perumahan Taman Serindik, Jalan Langgar, dekat sini, semalam.
Mangsa, Che Siah Wan Nik, 75, ditemui terbaring kira-kira jam 11.25 pagi dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik utama rumah berkenaan bersama kesan kesan tikaman di bahagian rusuk kirinya.
Seorang saksi, Anuar Abd Ghani, 52, berkata, dia merupakan orang terawal yang menemui mangsa di dalam bilik berkenaan, bagaimanapun semasa ditemui warga emas tersebut telah meninggal dunia.
“Kira-kira empat, lima orang jiran bertindak memecah masuk pintu kediaman berkenaan menggunakan kayu, selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anak mangsa.
“Sebaik pintu kediaman berjaya dipecah, kami nampak seorang amah berada dalam rumah tersebut dan kemudiannya menemui remaja berusia yang terkurung dalam sebuah bilik,” katanya.
Menurut Anuar, mereka kemudiannya bertindak menyoal amah berkenaan berhubung kejadian tersebut, bagaimanapun dia mendakwa bahawa kediaman berkenaan telah dimasuki perompak.
Difahamkan amah terbabit baru sahaja pulang bercuti di Indonesia, dan tiba di rumah majikan pada petang Ahad lalu dengan menaiki sebuah teksi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, siasatan polis mendapati ketika kejadian mangsa berada di rumah terbabit bersama tiga yang lain iaitu suaminya yang uzur, cucunya berusia 21 tahun, seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) serta pembantu rumah warga Indonesia, 38.
“Berdasarkan siasatan kita mendapati kejadian itu membabitkan pembantu rumah berkenaan. Suspek pada awalnya mengatakan penghuni rumah itu disamun oleh empat lelaki warga Indonesia. Tetapi apabila disoal siasat lanjut, kita dapati yang melakukan kejadian itu adalah pembantu rumah itu sendiri.
“Dalam kejadian itu, suspek telah mengikat cucu mangsa dalam satu bilik dan membawa mangsa ke dalam bilik utama. Namun cucu mangsa itu dapat melepaskan diri dan membuat panggilan telefon kepada ayahnya dan dalam masa sama orang ramai pun sudah masuk ke rumah yang dikatakan kena samun itu menyebabkan suspek tidak dapat melarikan diri,” katanya.
Adzaman berkata, pihaknya mendapati barang-barang milik mangsa iaitu barang kemas dan wang tunai kira-kira RM4,000 berada dalam sebuah beg suspek yang dipercayai hendak melarikan diri tetapi gagal.
“Suspek dikatakan telah bekerja di rumah berkenaan kira-kira setahun setengah dan berasal dari Batu Besar, Batam Indonesia. Antara barang rampasan yang dibuat adalah 6 utas gelang tangan, satu rantai leher bersama lokek dan wang kira-kira RM3,000.
“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Adzaman berkata, bedah siasat selesai dilakukan Pakar Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Mihd Suhani Mohd Noor dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat terkena tikaman pada jantung. - Sinar Harian Online
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment