Budak Perempuan Jadi Mangsa Rogol

Riduan

KOTA KINABALU – Seorang pakar perubatan memberitahu Mahkamah Seksyen di sini bahawa hasil pemeriksaan ke atas budak perempuan, yang kemudian berkahwin dengan lelaki yang didakwa merogolnya, menunjukkan budak perempuan itu adalah mangsa rogol.
Pakar Obsteterikal dan Ginekologikal Dr Munawwirah Ismail dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas berkata ini berdasarkan pemeriksaan genital yang dilakukan terhadap budak perempuan itu.
Beliau berkata setelah mengambil kira pemeriksaan dan keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas budak perempuan itu, ia boleh dikategorikan sebagai kes rogol.
Dr Munawwirah, 37, memberi keterangan pada perbicaraan Riduan Masmud (gambar), 40, yang didakwa merogol budak perempuan berusia 12 tahun enam bulan itu dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam, Sabah pada kira-kira 10 pagi, 18 Feb lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
Pada 21 Mei lepas, mahkamah diberitahu bahawa Riduan telah mengahwini gadis itu yang menimbulkan pelbagai reaksi memandangkan gadis itu di bawah umur.
Kepada soalan lain Timbalan Pendakwa Raya Effizah Erni Idris, Dr Munawwirah berkata semasa budak perempuan itu mendapatkan rawatan di Hospital Likas pada awal pagi 19 Feb lepas, dia mendedahkan yang dirinya dirogol seorang lelaki yang dikenali sebagai Joey.
“Hasil temu bual sebelum pemeriksaan ke atas mangsa, dia (mangsa) menceritakan dirogol semasa beliau dibawa ke suatu tempat di Kionsom Waterfall dan dipaksa melakukan persetubuhan,” katanya yang mula berkhidmat di hospital itu pada 9 Julai 2012.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin manakala Peguam Loretto J. Padua mewakili tertuduh.
Datuk Mariati Robert dari Persatuan Undang-undang Sabah, Mary Lee dari Sabah Women Action Resource Group (SAWO) dan Mary Florence Gomez dari Voice of The Children Malaysia bertindak sebagai peguam pemerhati.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ummu Khatom Abd Samad bersambung esok. – Borneo Insider

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story