Pengawal Keselamatan Maybank Naik Gaji 10%

Pengawal Keselamatan Maybank

KUALA LUMPUR – Seramai 53 pengawal keselamatan Maybank menerima pelarasan gaji sebanyak 10 peratus berikutan permeteraian Perjanjian Kolektif (CA) antara bank tersebut dengan Kesatuan Pengawal-pengawal Keselamatan Maybank (KPPKMB) baru-baru ini.
Perjanjian Kolektif (CA) selama tiga tahun itu turut menyaksikan pengawal keselamatan bank tersebut yang layak akan menikmati elaun baharu dikenali sebagai “Elaun Polis Bantuan”.
Melalui elaun itu, pengawal keselamatan Maybank yang telah disahkan sebagai Polis Bantuan dengan jawatan Korporal, Sarjan serta Inspektor layak menerima bayaran RM100 hingga RM300 sebulan.
Maybank dalam satu kenyataan media berkata, menerusi CA itu, tangga gaji pasukan keselamatan Maybank disemak semula dengan had gaji minimum dan maksimum dinaikkan sebanyak 10 peratus.
“Selaras dengan perjanjian ini, gaji tahunan juga dinaikkan dengan purata kenaikan tangga gaji baru sebanyak 5 peratus. Kakitangan terlibat juga menerima kenaikan pelbagai elaun lain seperti elaun dobi, gigi dan mata, syif, makan, senjata dan pakaian seragam.
“Perjanjian baharu ini turut menyenaraikan “Elaun Polis Bantuan” yang mana pasukan keselamatan yang telah disahkan sebagai Polis Bantuan dengan jawatan Korporal, Sarjan dan Inspektor juga layak mendapat elaun tambahan antara RM100-RM300 sebulan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, CA tersebut juga secara tidak langsung menganjakkan ganjaran terhadap kakitangan KPPKMB lebih tinggi berbanding purata gaji yang ditawarkan dalam industri tersebut.
Ketua Modal Insan Maybank, Nora Manaf dalam kenyataan sama pula berkata, seramai 85 peratus daripada pengawal keselamatan Maybank telah disahkan jawatan sebagai Polis Bantuan selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Malaysia (Pulapol) pada November 2012 hingga Januari tahun ini.
Kata beliau, pengawal keselamatan terlibat kini diberi kuasa yang lebih dalam melaksanakan tugas dan memastikan keselamatan bank dan pelanggan terjamin.
“Mereka juga telah dilatih sepenuhnya untuk mengendalikan sebarang situasi kritikal yang melibatkan kawalan keselamatan bank,” katanya.
Sementara itu, President KPPKMB, Nasir Goneng berkata, pihaknya gembira dengan kenaikan elaun yang diberikan kepada anggota keselamatan Maybank.
Jelassnya, ganjaran itu amat melegakan mereka dan dapat membantu meningkatkan mutu produktiviti dalam memastikan kawalan keselamatan terhadap kakitangan Maybank dan pelanggan. – mynewshub.my

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story