‘Geng Susu Kangkang’ Sorok Tin Dalam Kain

'Geng Susu Kangkang'

Kuantan – Lima wanita lengkap berbaju kurung dan bertudung nekad menyembunyikan lapan tin susu bayi dalam kain mereka ketika mencuri di sebuah pasar raya mengakibatkan kerugian RM634 di Jalan Sungai Lembing, di sini, jam 8 malam kelmarin.
Gelagat mencurigakan lima wanita terbabit masing-masing berusia 50 tahun yang dibantu tiga lelaki berusia 40 tahun dirakam kamera litar tertutup (CCTV) termasuk dua daripada suspek sempat memukul serta menolak seorang pekerja premis itu, Foon Koon Lan berusia 33 tahun.
Difahamkan, suspek memukul serta menolak mangsa selepas wanita itu dikatakan menjerit sekuat hati meminta bantuan orang awam ketika suspek berjalan keluar dari pasar raya.
Menceritakan semula kejadian itu, Foon berkata, sebelum itu, dia yang berada di kaunter premis berkenaan melihat lima wanita terbabit masuk secara bergilir sambil diekori tiga lelaki terbabit dan menyangka adalah pelanggan.
“Bagaimanapun, selepas itu saya lihat suspek keluar dan masuk semula beberapa minit kemudian menyebabkan saya curiga dengan pergerakan mereka sebelum melihat rakaman CCTV.
“Saya terkejut apabila rakaman pertama menunjukkan suspek wanita yang berbaju kurung bersama seorang lelaki memakai topi berwarna merah bercampur biru melihat ke kiri seperti memerhatikan keadaan sekeliling ketika berdiri di tepi rak.
“Selepas itu, wanita terbabit yang berseorangan berjalan ke rak lain di bahagian susu bayi sebelum saya melihat suspek menyumbat tin susu berkenaan ke dalam kain,” katanya.
Menurutnya, dalam rakaman sama, rakan kepada suspek pertama yang memakai baju kemeja bersama seorang wanita bertudung merah jambu bercampur putih menarik susu sebelum menyumbat dalam baju.
Katanya, selepas melihat rakaman berkenaan dia cuba menghalang suspek yang berjalan sambil membawa tin susu sebelum suspek memukul dan menolaknya.
Foon berkata, suspek bertindak demikian kerana terkejut mendengar jeritannya meminta bantuan orang awam sebelum semua suspek bergegas melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan.
“Saya bersama seorang lagi rakan sekerja gagal menahan penjenayah terbabit kerana semua suspek cukup agresif termasuk wanita berkenaan manakala jeritan saya langsung tidak didengar orang awam, “ katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi, di sini, semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu yang dipercayai sindiket ‘Geng Susu Kangkang’. – Metro Online
* Sekadar Gambar Hiasan

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story