KUALA LUMPUR – Pelakon wanita, Fouziah Gous mahu pihak yang mengatakan dia sudah berkahwin dengan seorang berpangkat tinggi (VVIP) tampil memberikan bukti terhadap dakwaan tersebut.
Gosip mengatakan pelakon utama drama Sarakit itu baru-baru ini sudah pun berkahwin dengan seorang VVIP secara senyap dan tidak dihebahkan kepada umum.
Justeru, Fouziah mahu pereka cerita tersebut tidak memberikan kata-kata kosong, sebaliknya, ia perlu diberikan bukti supaya cerita itu benar atau tidak.
Malah, Fouziah merasakan kelakar dengan cerita yang tidak benar itu.
“Bagi yang membuat gosip ini, sila kemukakan bukti yang mengatakan saya sudah pun berkahwin, tak perlu cakap tanpa bukti.
“Apa motifnya saya nak kahwin sorok-sorok? Saya rasa kelakar tentang perkara ini dan saya tidak ambil serius, lainlah kalau perkara itu betul-betul berlaku,” kata Fouziah yang dipetik dari laporan portal OhBulan!.
Walaupun gosip itu hadir dan Fouziah merasakan ia sebagai bahan jenaka, wanita itu masih lagi kesal kerana pihak-pihak tertentu masih lagi mencari keburukan dirinya.
Fouziah berkata, isu berkahwin senyap itu sengaja ditimbulkan memandangkan kisah hidupnya tidak banyak diperkatakan sekarang ini.
Bagi Fouziah, sekiranya sudah tiba masa untuk dia mendirikan rumah tangga, dia akan menghebahkan berita gembira tersebut kepada umum.
“Bagi saya, isu ini sengaja diwujudkan. Mungkin saya tidak ada gosip untuk diketengahkan, jadi timbul isu mengatakan saya kahwin secara senyap.
“Kalau saya nak kahwin pun, saya akan pastikan perkara baik seperti ini diketahui ramai dan tidak perlu dirahsiakan,” katanya.
Oleh: NAIMAH SHAARI
0 comments:
Post a Comment