PENGUBAT RINDU...Lehon menunjukkan foto terakhir Abdul Jalil bersama keluarga 12 tahun lalu, sambil ditemani Akasah.
DARO: “Mak...jaga diri baik-baik, Jalil akan pergi jauh.” Itulah kata-kata terakhir Abdul Jalil Elias, 42, sebelum menghilang tanpa khabar berita sejak lebih 10 tahun lalu.
Abdul Jalil anak bongsu daripada lima beradik dilaporkan hilang ketika merantau ke Kuala Lumpur mencari kerja selepas bapanya, Elias Pie, meninggal dunia pada 2000.
Menurut ibunya, Lehon Hamdan, 80, sebaik mendapat kerja, anaknya kerap menghubungi keluarga dan pernah mengirimkan wang, namun dua tahun selepas itu, dia terus menyepi.
“Kami cuba menghubunginya beberapa kali, namun gagal. Malah, kakaknya yang menetap di Perak pernah mencarinya, tetapi sehingga kini gagal dikesan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh, semalam.
Menurut Lehon, sejak kehilangan anak kesayangannya itu, hidupnya bukan saja menjadi tidak keruan malah kerap kali dibayangi mimpi buruk.
“Kali terakhir dia menghubungi kami sebelum Aidilfitri 2002. Ketika itu, dia menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung dan membeli kasut untuk salah seorang cucu saya. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, saya tidak lagi dengar suaranya.
“Saya tidak tahu sama ada Jalil masih hidup atau sebaliknya. Sehubungan itu, saya merayu kepadanya, sekiranya dia masih hidup, sekurang-kurangnya hubungilah saya dan beritahu keadaan sebenar,” katanya.
Sementara itu, abangnya, Akasah, 52, berkata, mereka berusaha mencari adiknya di di tempat dia pernah menetap termasuk Kuala Lumpur dan Perak.
Bagaimanapun, beberapa kenalan memberitahu, adiknya sudah berpindah dan tidak lagi bekerja di situ.
Akasah berkata, Abdul Jalil seorang anak yang baik dan sentiasa menghormati ibu bapa.
“Saya kesal apabila dia (Abdul Jalil) gagal dikesan ketika salah seorang daripada adik saya, Hussien, 48, meninggal dunia pada 3 Disember lalu.
“Kesihatan ibu kami juga semakin tidak menentu akibat terlalu rindukan Abdul Jalil,” katanya.
Katanya, keluarganya akan membuat laporan polis sebagai tindakan susulan.
Sehubungan itu, dia meminta orang ramai yang mengenali Abdul Jalil supaya menghubungi balai polis berhampiran atau memaklumkan kepada keluarganya di talian 017-5801158.-HMetro
0 comments:
Post a Comment