KUALA LUMPUR – Kira-kira 10,000 petak tempat letak kereta sedang dan akan dibina di 20 lokasi stesen Transit Aliran Ringan (LRT), KTM Komuter dan kereta api laju Express Rail Link (ERL) dalam usaha mengatasi rungutan pengguna terhadap kekurangan kemudahan itu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pembinaan di bawah projek Park ‘n Ride itu juga diyakini mampu mempertingkat penggunaan pengangkutan awam kepada 25 peratus tahun ini seperti yang dihasratkan kerajaan.
“Daripada 20 lokasi berkenaan, hampir sebahagiannya sudah siap manakala selebihnya dijangka siap dalam masa terdekat, atau selewat-lewatnya pada 2015. Antara projek yang sudah beroperasi adalah di stesen KTM Kajang, Batu Tiga, Padang Jawa, Kepong, Bangi, Salak Selatan dan stesen LRT Gombak.
“Kemudahan Park ‘n Ride di stesen KTM Seremban, stesen LRT Bandar Tasik Selatan dan Pudu pula dijangka mula beroperasi pada Mei depan, sementara projek di LRT Kelana Jaya, ERL Salak Tinggi dan KTM Klang pula akan siap pada 2015,” katanya kepada pemberita selepas perasmian kemudahan itu di Sungai Besi oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Selain mesra pengguna golongan orang kurang upaya (OKU), kemudahan setinggi tiga tingkat itu turut dilengkapi 220 parkir, lif, kamera litar tertutup, tandas, gerai makanan dan laluan pejalan kaki yang menghubungkannya dengan stesen LRT Sungai Besi. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment