FAM Tolak Permohonan PKNS Guna Khidmat Nazmi

FAM Tolak P'mohonan PKNS Guna Khidmat Nazmi

PETALING JAYA – Bintang muda negara Nazmi Faiz Mansor terpaksa menangguhkan hasrat beraksi dalam liga tempatan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak permohonan Selangor PKNS untuk menggunakan khidmat pemain itu lebih awal dalam kempen Liga Super.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata berdasarkan peraturan semasa, bekas pemain skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) itu perlu memiliki Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) sebelum mengemukakan permohonan.
Nazmi Faiz, 18, menamatkan kontrak tiga tahun dengan kelab divisyen satu Liga Portugal, SC Beira-Mar, selepas tujuh bulan untuk pulang beraksi dalam liga tempatan.
Kelmarin, Nazmi Faiz, mengesahkan status sebagai pemain baharu kelab Liga Super itu, selepas mengikat kontrak selama tiga tahun.
Azzuddin berkata selain Sijil ITC, peraturan FAM menetapkan mana-mana pasukan tidak boleh menurunkan pemain baharu sehingga jendela perpindahan kedua dibuka dari 8 hingga 22 April ini.
“Oleh sebab itu, kita terpaksa menolak permohonan PKNS untuk mendaftar Nazmi Faiz secara serta-merta kerana pendaftaran siri pertama perpindahan pemain Liga Malaysia tamat 6 Dis lepas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil PKNS, di Wisma FAM, di Kelana Jaya, di sini, Isnin. – BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story