‘Ramai yang marah saya terutamanya, rakyat Kelantan,” akui penyanyi dan komposer terkenal, Eddie Hamid berhubung lagu ciptaan terbarunya, Bo La Wei, yang mengundang kontroversi.
Menurut Eddie, keluarganya turut terkena tempias yang sama sehingga dia dilarang untuk pulang ke kampung (Kelantan) buat sementara waktu.
“Pada mulanya saya takut juga. Tetapi saya nak balik juga dan tengok sendiri bagaimana lagu ini mencetus fenomena di Kelantan,” kata Eddie.
Lagu ciptaannya bersama Datuk Supardi yang dimuat naik menerusi YouTube sejak tiga minggu lalu itu ternyata mengundang kemarahan ramai dengan pelbagai komen negatif di laman sosial tersebut.
Malah laman Facebooknya turut dibanjiri komen-komen negatif yang tidak berpuas hati dengan pembikinan lagu itu.
Bagaimanapun komposer yang pernah popular dengan lagu, Halimah Jongang, ini berkata niatnya hanya untuk menyedarkan anak-anak Kelantan supaya berubah ke arah yang lebih baik.
“Saya terpanggil untuk menghasilkan lagu setelah melihat kemunduran Kelantan yang diperintah Pas sejak dahulu lagi.
“Lagipun peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan anak Kelantan ramai berhijrah ke luar untuk mencari rezeki,” kata Eddie kepada Zass, semalam.
Akui lagu tersebut dicipta khas sempena Perhimpunan Anak-anak Kelantan anjuran Barisan Nasional (BN) di Stadium Putra Bukit Jalil pada 17 Februari lalu, Eddie berkata, tiada sebarang unsur paksaan untuknya mencipta lagu itu walaupun mendapat tentangan ramai.
“Suka atau tidak, ia kerjaya saya. Ini periuk nasi kami,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Eddie mendedahkan dia kini dalam proses mencipta lagu baru, Untukmu Najib, yang berkisarkan perjalanan hidup Perdana Menteri Negara itu sejak zaman kanak-kanak sehingga kini. – Sinar Harian Online
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment