Tembak Menembak Baru Di Lahad Datu Pagi Tadi

ketua polis negara

KUALA LUMPUR – Satu kejadian tembak-menembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas Selatan Filipina dilaporkan berlaku pukul 6.45 pagi tadi.
Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar  dalam sidang media harian  bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Sabah, pagi ini.
Beliau tidak mendedahkan lokasi kejadian itu tetapi memberitahu seorang pengganas Sulu tumpas manakala tidak ada sebarang kecederaan di pihak Malaysia.
Bagaimanapun pengganas yang ditembak itu sempat dibawa lari oleh rakan-rakannya yang lain.
Ismail juga mengesahkan bahawa kawasan Ops Daulat yang sebelum ini seluas 4 kilometer, kini diperluaskan lagi berikutan ada di kalangan pengganas dipercayai yang bergerak ke beberapa kawasan lain dengan menyamar sebagai orang awam.
Beliau bagaimanapun meminta orang ramai agar tidak bimbang dengan perkembangan terbaru itu.
Ismail sekali lagi menasihatkan penduduk di kawasan sekitar agar berhati-hati dan dapatkan apa-apa maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan.
“Sekali lagi saya minta kerjasama orang ramai agar tidak cemas walaupun musuh bergerak lebih luas kerana pasukan keselamatan masih mengawal,” katanya.
Pada sidang yang sama, beliau juga berkata, pihaknya belum lagi mahu menyiarkan jumlah pemberontak Sulu yang cedera atau maut dalam operasi yang digerakkan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam.
Dalam operasi itu yang bermula sekitar 7 pagi, pengganas digempur dan dilemahkan dalam masa hanya 3 jam oleh pasukan tentera.
Namun, OPS Daulat masih tidak berakhir kerana ia disusuli dengan operasi ‘mopping out’ atau membersihkan sepenuhnya saki-baki pengganas yang terselamat dalam serangan semalam.
Kumpulan pengganas yang merupakan pengikut Jamalul Kiram III yang mengaku dirinya Sultan Sulu menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu.
Mereka telah dipujuk dan diberikan peluang selama berminggu-minggu oleh pasukan keselamatan Malaysia agar pulang ke tanah air mereka namun bersikap angkuh dan keras kepala.
Jamalul Kiram III mengaku Sabah adalah milik kesultanannya walaupun sejarah membuktikan ia telah diserahkan kepada British.


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story