Hubungan percintaan di antara pelakon kacak, Zul Ariffin dan penerbit Tayangan Unggul, Gayatri Su Lin Pillai kini bukan lagi rahsia setelah kedua-duanya mengaku mengenai kesahihan cerita itu.
Terbaru menerusi Harian Metro, Zul, 27, mendedahkan bahawa pelakon dan pengarah Ellie Suriaty merupakan ‘dalang’ di sebalik kisah cinta dirinya dan Gaya, 30-an.
“Saya tidak pernah berkongsi perkara ini dengan sesiapa, tetapi saya tahu ramai bertanya bagaimana kami boleh bercinta. Tidak kurang juga menuduh kononnya kami sudah lama berkenalan dan saya berlakon dalam Penanggal disebabkan hubungan baik kami.
“Ingin saya tegaskan, semua itu tidak benar. Pada awal pembabitan saya dalam filem Penanggal dan sewaktu menjalani latihan pembacaan skrip dan penghayatan watak, Ellie berkata pada saya, dia mahu memperkenalkan saya kepada seseorang.
“Saya hanya tergelak waktu itu dan bertanya adakah dia orang luar atau orang dalam produksi filem Penanggal. Jawabnya ringkas bahawa ia orang produksi.
“Sebaik penggambaran dimulakan, Ellie bertanya masihkah saya ingat niatnya mahu memperkenalkan saya kepada seseorang.
“Saya hanya mengangguk dan tiba-tiba dia tunjuk kepada Gaya. Saya terus terkedu dan berkata kepadanya, tidak mungkin. Apatah lagi dia orang besar syarikat penerbitan,” katanya.
“Saya waktu itu berasa canggung. Semua benda buat rasa serba tak kena, terutama apabila Gaya ada di lokasi. Saya juga dapat berasakan dia mengalami perkara sama.
“Selepas selesai penggambaran Penanggal, kami tidak lagi bertemu. Sewaktu majlis tamat penggambaran diadakan pun, saya tidak datang kerana segan.
“Ellie sekali lagi berusaha apabila cuba menemukan kami. Alasannya, ada mesyuarat produksi mahu dilakukan dan dia minta Gaya sebagai penerbit datang dan saya pelakon utama mahu dipilih ada bersama.
“Waktu itu kami mahu berbincang mengenai filem bakal diarahkan Raja Mukriz. Dia pun bersubahat juga.
“Sebaik perbincangan dibuat, tiba-tiba mereka hilang dan biarkan kami berdua. Kesempatan itu kami gunakan untuk mengenali antara satu sama lain.
“Namun kami masih berborak seperti rakan biasa. Hinggalah selepas tiga bulan menjadi rapat, baru rasa cinta datang. Bila dapat tahu kami bercinta, Ellie orang paling gembira,” katanya.
Pandai juga ya isteri kepada Azri Iskandar ini mengatur serta merencana rancangannya sehingga berjaya menerbitkan bibit-bibit cinta di antara pasangan Zul dan Gaya.
Walaupun perbezaan umur yang agak jelas ketara di antara mereka, rasanya tidak menjadi masalah jika kedua-duanya sudah serasi serta bahagia bersama.
Oleh: JULIANA JOHAR
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment