Berhibur 3 Malam Dengan Siti Di DFP

Siti Di DFP

Sejarah bakal dilakar dalam industri seni tanah air apabila Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bergabung tenaga dengan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, menerusi sebuah konsert istimewa yang bakal diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai 5 Julai depan.
Konsert bermula jam 8.30 malam itu akan dilangsungkan di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Persembahan itu bakal menyaksikan Siti menjejaki senarai legenda lain yang pernah berkolaborasi bersama orkestra berprestij terbabit seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk M Nasir, Datuk Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro dan Aishah.
Inilah persembahan kedua Siti bersama MPO selepas 18 tahun penyanyi itu menceburkan diri dalam bidang seni. Kali pertama Siti beraksi di pentas berkenaan adalah ketika muncul sebagai artis undangan pada konsert SM Salim, sekitar 2001.
Pada malam itu nanti, penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini akan membawa penonton menyusuri perjalanan seninya, sedari awal pembabitannya sehinggalah di mana dia berdiri sekarang.
Siti akan membawa penonton bernostalgia menerusi lantunan suara merdunya dan mendengar ceritanya menerusi lirik disampaikan.
Antara lagu yang bakal didendangkan pada konsert itu termasuklah Muara Hati, Purnama Merindu, Cindai, Biarlah Rahsia, Hanya Dia, Seindah Biasa, Badarsila, Kau Kekasihku, Di Taman Teman dan juga persembahan tribute untuk penyanyi legenda negara.
Persembahan ini adalah di bawah siri DFP Showcase dan akan dipimpin konduktor berpengalaman, Kevin Field.
Dicungkil bakatnya menerusi rancangan Bintang HMI terbitan RTM pada 1995, Siti melancarkan album perdananya setahun kemudian. Pada usia 20 tahun, dia mengadakan konsert solo pertama di Bukit Jalil pada 1999. Ini diikuti dengan kejayaan mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London, pada 2005.
Kemudian, artis yang diberikan gelaran penyanyi nombor satu negara ini mengadakan Konsert Fantasia Tour di 13 negeri, selain persembahan di Indonesia, Singapura dan Brunei.
Harga tiket dijual bermula daripada RM150 ke atas dan maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 03-20517007 atau layari mpo.com.my.
Sumber: Berita Harian


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story