Shaheizy Sam Beri Hadiah Barang Kemas Kepada Ibu

Shaheizy Sam

SUBANG JAYA – Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) iaitu pelakon Shaheizy Sam menghadiahkan set barang kemas tajaan Habib Jewels yang dimenangi khas buat ibunya, pelakon Khaty Fauziah.
Sam, 31, berkata, dia sudah berhajat untuk memberi hadiah bernilai RM150,000 itu kepada ibunya yang menjadi penyokong utamanya sejak dia bergelar pelakon.
“Beliau adalah penyokong setia dan pemangkin semangat saya. Tanpanya tidak adalah saya di sini.
“Jujurnya saya tidak mampu membalas jasanya yang cukup besar. Cuma hadiah kemenangan di ABPBH ini memang saya ingin berikan kepadanya,” jelas Sam ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang –pemenang ABPBH 2012 di Hotel Holiday Villa di sini, Selasa.
Hadiah disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Meor Mior Kamarul Shahid.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Pengarang BH, Mahfar Ali dan Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan BH, Hanizam Abdullah
Selain barang kemas, Sam turut menerima sebuah kereta Nissan 370Z Coupe tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.
Pada ABPBH 2010, Sam turut memenangi anugerah serupa sehingga melayakkan dia membawa hadiah kereta Nissan Teana 2.0L bernilai RM140,000 dan barangan kemas Rafflesia Mandalay (edisi terhad) serta beberapa hadiah iringan lain.
Mengenai hadiah kereta Nissan yang dimenanginya Sam berkata, kenderaan itu akan digunakan untuk aktiviti seharian dan tidak berhasrat untuk menjual atau memberikannya kepada orang lain.
Dalam pada itu, kumpulan rock popular Search yang mendapat Anugerah Sepanjang Hayat pada majlis tersebut turut menerima penghargaan daripada pihak Berita Harian.
Pemenang bagi 16 kategori lain yang dipertandingkan turut memenangi pelbagai hadiah menarik daripada pihak penganjur seperti Habib Jewels dan Jamu Mak Dara.
Sementara itu seorang pembaca, Norhana Nazidin menjadi individu bertuah apabila berjaya membawa pulang sebuah kereta Nissan Almera sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.
Selain itu, Norhana turut membawa pulang barang kemas Habib Jewels dan tiket pelayaran 4 hari 3 malam di atas kapal SuperStar Libra tajaan Star Cruise Travel Sdn Bhd.
Dalam perkembangan sama, ABPBH 2012 turut menyampaikan Anugerah Khas kepada artis yang memberikan komitmen sepanjang siri jelajah acara itu.
Artis yang menerima anugerah berkenaan adalah Aaron Aziz, Didie Alias, Emma Maembong, Hanez Suraya, Johan As’ari, Shah Iskandar dan Sleeq. – mStar Online


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story