SEGERA: Empat Remaja Ditahan Berhubung Kes Bunuh Wanita Berjogging Di PJ

Bunuh: Empat Remaja Ditahan Berhubung Kes Bunuh Wanita Berjogging Di PJ

SHAH ALAM- Polis menahan empat remaja lelaki dalam serbuan berasingan awal pagi ini berhubung kes samun dan bunuh seorang wanita berhampiran trek joging di Bukit Gasing, dalam kejadian Sabtu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata mereka yang ditahan itu berumur antara 16 dan 18 tahun.
Seorang daripada mereka merupakan pelatih di sebuah pusat kemahiran manakala yang lainnya penganggur.
Tun Hisan berkata dalam operasi pada pukul 1.30 pagi itu, polis yang bertindak atas maklumat orang ramai berjaya menahan seorang lelaki berumur 16 tahun di sebuah rumah di Flat Sri Medan, dan kira-kira 20 minit kemudian seorang lagi lelaki berumur 18 tahun di tahan di flat yang sama.
“Kira-kira pukul 3.30 pagi tadi juga polis menahan dua lagi remaja lelaki berumur 17 dan 18 tahun di sebuah rumah di Flat Bukit Gasing Indah,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.
Dalam kejadian pada 20 April lepas, Ong Ai Sam, 52, bersama anak perempuannya yang berumur 17 tahun telah diserang dua lelaki yang menaiki motosikal, ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang selepas berjoging. Mangsa yang cuba mempertahankan diri dan anaknya, telah ditikam enam kali oleh seorang penyerang sehingga beliau rebah dalam keadaan berlumuran darah. Ong yang dibawa ke hospital kemudian disahkan meninggal dunia.
Tun Hisan berkata berikutan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed telah mengadakan perjumpaan dengan penduduk di sekitar kawasan berkenaan supaya sentiasa berwaspada dengan keselamatan diri semasa mengadakan aktiviti riadah.
Para penduduk turut diberikan penerangan mengenai langkah-langkah keselamatan diri bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Laluan dan kawasan trek joging berkenaan memang sunyi dan polis sentiasa melakukan rondaan, jadi kita harap mereka yang gemar berjoging di kawasan itu supaya tidak bersendirian,” katanya.
Tun Hisan berkata polis akan menahan reman kesemua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story