Pelbagai Gelagat Saringan Hari Pertama

PABM 2013: Pelbagai Gelagat Warnai Saringan

PUTRAJAYA – Bagi memartabatkan pengaruh dan kesejagatan Bahasa Melayu, pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2013 kini kembali lagi buat kali ke-7 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Acara yang dikenali dengan nama akronim PABM itu dimulakan seawal pukul 9.00 pagi dengan disertai oleh 77 orang peserta dari 72 buah negara.
Melihat kepada isi kandungan teks ucapan dan kesungguhan daripada para peserta, ternyata usaha mereka untuk memasuki pertandingan ini memang boleh dibanggakan.
Mana tidaknya apabila peserta dari Belanda, Mongolia, Kenya, Ghana, India, Somalia, Camaroon, Itali dan sebagainya mampu bercakap dalam bahasa ibunda Malaysia dengan begitu fasih.
Antara peserta yang telah menarik perhatian juri adalah peserta dari Jepun iaitu Karen Takahashi, 23, yang membawakan tajuk Malaysia Dihatiku kerana dia mampu berbicara dengan gaya yang bersahaja.
DSC_2542
Misalnya, Karen memberitahu dia telah jatuh cinta dengan Malaysia sejak pertama kali datang melancong ke sini.
“Saya mengenali Malaysia pada 2010 apabila saya datang untuk makan angin selama 10 hari. Pada 2011 saya berazam untuk mendalami negara ini.
“Adududoi… kenangannya bagai mimpi bagi saya,” katanya yang pernah bergelar pelajar dalam bidang Sastera Melayu dan Asia Timur selama setahun di Universiti Malaya (UM), bermula pada tahun 2011 sehingga 2012.
Tambahnya, hatinya seperti diragut dan dicuri oleh penghuni-penghuni di bumi bertuah Malaysia.
“Teman-teman perjuangan saya di universiti, keluarga angkat di desa dan sahabat-sahabat saya di Bandaraya Kuala Lumpur telah meragut dan mencuri hati ini dengan kemesraan dan keikhlasan serta kesungguhan mereka melayani saya.
“Semasa saya berjalan-jalan dengan mereka, semasa saya berkawan dengan mereka, orang Malaysia telah membantu saya di dalam apa jua urusan semasa saya menuntut di sini,” jelasnya.
Selain itu, lain pula ceritanya mengenai peserta dari Australia, Courtney Saville yang membawakan tajuk Budaya Wadah Perpaduan Antara Negara.
DSC_2527
Dia membawakan gaya persembahan yang lain daripada lain apabila melakukan interaksi di antara penonton dan juga juri.
“Saya minta anda angkat tangan kalau suka melakukan salah satu daripada perkara ini, okay?
“Siapa yang suka melukis atau bergambar, siapa yang suka menari atau menyanyi, fotografi?  Sekarang kita lihat ternyata ada banyak orang di sini yang kreatif.
“Ini sangat penting kerana kreativiti adalah kesamaan yang boleh menyatukan orang untuk berkomunikasi,” katanya.
Sementara itu, peserta dari Tanzania, Hawa Omar Abdallah Semasaba pula memberitahu dari aspek kepelbagaian sesetengah negara menolak pembangunan kerana tidak mahu mengorbankan tradisi. Tetapi di Malaysia ada semuanya.
DSC_2747
“Kalau saya berdiri dihadapan bangunan Sultan Abdul Samad, saya boleh nampak bangunan dari zaman lalu yang menunjukkan kekayaan budaya Malaysia.
“Dan kalau saya berdiri di depan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di ibu kota Kuala Lumpur, saya boleh melihat kemodenan yang menjadikan Malaysia negara yang sangat indah can cantik,” jelasnya.
Jelas sekali, walaupun ada di antara peserta ini baru pertama kali memasuki PABM 2013, tetapi mereka mampu memberi persembahan yang baik.
Hari ini dan esok (20 Februari 2013) adalah peringkat saringan.
Manakala peringat separauh akhir akan diadakan pada 21 Februari (Khamis) dan malam kemuncak akan diadakan pada Jumaat ini di mana ia akan dipancarkan secara langsung menerusi RTM TV1 bermula jam 8.30 malam.
Oleh: NURUL NAFISAH MAZLAN
Foto: RIZA RAZAK


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story