Aznil ‘Terbuka’ Pemilihan Pengetua, Pengacara AF10

Aznil 'Terbuka' Pemilihan Pengetua, Pengacara AF10

PETALING JAYA – Pengacara nombor 1 negara Datuk Aznil Nawawi bersikap terbuka sama ada diberi peluang terlibat atau sebaliknya dalam program Akademi Fantasia musim ke-10 (AF10) yang akan kembali bersiaran tidak lama lagi.
Aznil, 51, berkata walaupun telah menerajui program itu selama beberapa musim, beliau tetap menyerahkan segala urusan, terutama urusan pemilihan pengetua dan pengacara kepada pihak pengurusan Astro.
“Baik dalam pemilihan pengetua atau pengacara, saya sangat terbuka.
“Cuma saya sering bertanya kepada mereka, jika saya dipilih adakah saya boleh diterima lagi.
“AF 10 tahun dulu memang saya mulakan sebagai pengacara, tetapi adakah selepas 10 tahun ia masih sama dan inilah yang saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk dibincangkan,” katanya kepada mStar Online.
Aznil berkata demikian ketika mengikuti percutian bersama media ke Phuket dan Krabi, Thailand menaiki kapal Star Cruise Libra.
Aznil, atau lebih mesra disapa Pak Nil antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi pengetua atau pengacara program realiti yang dijangka ditayangkan pada September ini.
Beliau menambah, dalam program besar dan popular seperti AF, pemilihan pengacara atau pengetua sangat penting kerana mereka secara tidak langsung menjadi penghias.
Katanya, sebagai salah seorang warga kerja di Astro, beliau turut dipanggil oleh pihak pengurusan untuk sama-sama duduk dan berbincang dan memberi pandangan mengenai perkara ini.
“Saya ada dipanggil tapi saya tak tetapkan kemungkinan kerana ia perlu dilihat dari pelbagai aspek untuk memberi nafas baru dan menambahkan kehangatannya,” katanya.
Jelasnya terdapat juga nama pengacara lain yang berbakat besar disenaraikan untuk mengendalikan rancangan ini.
“Ada Zizan, Nabil dan beberapa nama lain yang saya tak nafikan mempunyai bakat besar dalam bidang pengacaraan.
“Tapi timbul masalah apabila nama-nama ini seolah-olah telah sebati dengan program realiti lain yang pernah dikendalikan mereka sebelum ini.
“Inilah yang perlu pihak pengurusan fikir dan bekerja keras,” katanya.
Dalam pada itu, Aznil menolak dakwaan bahawa AF sudah tidak lagi relevan pada masa kini.
Malah, katanya, beliau tetap akan memberikan sokongan terhadap rancangan ini walaupun tidak diberi peluang untuk menjayakannya.
“AF sudah ‘tutup kedai’ dua tahun tetapi dalam masa dua tahun itu rancangan realiti manakah yang relevan?.
“AF telah memberi sumbangan dalam industri contohnya Hafiz dan Adira yang mempunyai vokal mantap, malah Hafiz menang vokal terbaik.
“Ini menunjukkan AF bukan program sia-sia,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelayarannya, beliau berkata percutian seperti ini wajar dicuba kerana ia berbeza dengan percutian biasa dan terdapat restoran yang mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di dalam kapal. – mStar

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story