KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila berjaya meraih gelaran kelima badminton Terbuka Indonesia di Stadium Istora Gelora Bung Karno di Jakarta, hari ini.
Chong Wei, 30, selaku pilihan utama, mengambil masa 40 minit untuk mengatasi pemain nombor 22 dunia, Marc Zwiebler dari Jerman dengan keputusan 21-15 dan 21-14 pada perlawanan akhir.
Chong Wei mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh pertemuan dengan Zwiebler yang berusia 29 tahun itu.
Ini merupakan kejuaraan kelima Siri Super Premier berkenaan bagi Chong Wei selepas edisi 2007, 2009, 2010 dan 2011.
Bagi final acara perseorangan wanita, pemain utama China, Li Xuerui terpaksa berkerja keras selama satu jam untuk menewaskan Juliane Schenk dari Jerman dengan keputusan 21-16, 18-21, 21-17.
Wakil tunggal pasukan tuan rumah ke final iaitu Mohammad Ahsan/Hendra Setiawan menjuarai kategori beregu lelaki setelah mengecewakan beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Lee Yong Dae dengan keputusan 21-14 dan 21-18.
Beregu wanita bukan pilihan dari China Bao Yixin/Cheng Shu membuat kejutan apabila mengalahkan rakan senegara, Wang Xiaoli/Yu Yang yang merupakan pilihan utama dengan keputusan 15-21, 21-18 dan 21-18 dalam pertarungan selama satu jam.
Dalam acara beregu campuran, gandingan pilihan ketiga Zhang Nan/Zhao Yunlei dari China muncul juara setelah mengalahkan beregu pilihan keempat dari Denmark, Joachim Fischer Nielsen/Christinna Pedersen dengan keputusan 24-22, 20-22 dan 21-12 dalam persaingan sengit selama satu jam 21 minit. – BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment