AYER KEROH – Walaupun berniat untuk ‘mengajar’ adik tiri yang membawa balik rakan lelaki ke rumah, namun tindakan memukul menggunakan besi menyebabkan seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Tertuduh, Mohd Azlan Shah Ab Halim dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan mendatangkan kecederaan yang disabitkan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Azlan, 23, dari Banda Hilir didapati mendatangkan kecederaan terhadap remaja perempuan berusia berusia 15 tahun menggunakan besi almari di Pangsapuri Parameswara, Banda Hilir kira-kira 4 petang, 12 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Tertuduh ketika rayuan meminta mahkamah memberikan hukuman denda ringan terhadapnya yang memukul adik di hadapan ibu mereka hanya bertujuan mengajar dan mendidik.
“Saya pukul kerana dia (adik) membawa balik ‘jantan’. Bagaimanapun saya menyesal atas perbuatan mencederakannya,” katanya ketika ditanya Majistret Ida Rahayu Sharif.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aida Zainuddin meminta mahkamah memberikan hukuman yang boleh dijadikan pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.
Selepas mendengar rayuan dan permintaan daripada kedua-dua belah pihak, Ida Rahayu kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap tertuduh atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
“Walau awak berniat baik, tetapi tindakan awak tetap salah,” katanya sebelum menjatuhkan hukuman. - Sinar Harian Online
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment