London – Seorang pelajar yang tidak mampu membayar sewa rumah membeli sebuah bot untuk didiami ketika belajar di universiti.
Langkah pelajar geografi fizikal, Joe Pearce membolehkan dia berjimat sebanyak £5,600 (RM28,000).
Bot itu dibelinya secara atas talian pada harga £800 (RM4,000), bersamaan dengan sewa dua bulan.
Pearce tinggal di bot kelas Falmouth Gypsy sepanjang tujuh meter itu selama 14 bulan ketika belajar untuk ijazah sarjananya di Universiti Aberystwyth.
Meskipun masih boleh belayar, Pearce mengaku botnya itu, Golden Cloud boleh diibaratkan sebagai khemah kayu Ia dibina di Penryn, Cornwall, 32 tahun lalu. Badannya diperbuat daripada gentian kaca. “Ketika belajar mendapatkan ijazah sarjana, saya menyedari saya tidak mampu tinggal di rumah pangsa.
Saya berkongsi rumah itu dengan teman wanita saya dan kami membahagikan bayaran sewa £100 seminggu itu antara kami,” kata Pearce.
Menurutnya dia membeli bot berkenaan daripada pemiliknya di Porthmadog, Wales Utara.
“Rakan saya teruja dan menyangka saya membeli kapal layar yang glamor. Mereka terkejut apabila melihat bot yang saya beli. Zamannya untuk belayar sudah berlalu dan bagi saya, hidup di dalamnya seperti menjalani perkhemahan mewah atau tinggal di dalam khemah kayu!” Bot itu dilengkapi enjin buatan 1970 dan bahagian tertingginya ialah 1.7 meter, Ia menyukarkan Pearce bergerak kerana ketinggiannya hampir dua meter.
“Saya menyimpannya di limbungan bot Ynslas, kira-kira 13 kilometer dari Aberystwyth dan saya akan berbasikal pergi dan balik ke universiti bagi menjimatkan wang.
“Semua orang di limbungan itu begitu baik dan membantu saya memasang bot berkenaan kerana saya tidak berpengalaman. Saya hanya perlu membayar £1(RM5) sehari untuk menyimpannya di situ.
“Kadang kala ia menjadi sesak kerana ketinggian bumbungnya tidak sesuai. Saya terpaksa membongkok. Bagaimanapun, bot itu menjadi tajuk perbualan. Saya juga mengadakan parti di dalam bot itu,” katanya. – Daily Mail
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment