KUALA LUMPUR – Jurang antara pengetahuan siswazah dan keperluan industri perlu ditangani pemain industri dan institusi pendidikan supaya siswazah boleh memenuhi keperluan semua industri, kata seorang tokoh korporat terkemuka.
Naib Pengerusi Eksekutif SapuraKenchana Petroleum Datuk Mokhzani Mahathir berkata banyak universiti terkemuka telah melahirkan graduan tetapi kebanyakkan mereka tidak mempunyai apa yang diperlukan untuk cemerlang dalam kerjaya.
“Masalah utama ialah pelajar atau graduan mempunyai sedikit atau tidak mempunyai pengetahuan amali mengenai industri yang dipilih mereka,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Persatuan Pelajar DBA Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Ideas) di Gombak dekat sini hari ini.
“Terdapat permintaan tinggi untuk jurutera dalam industri minyak dan gas tetapi tidak ramai graduan yang bersedia untuk mengotorkan tangan mereka sebaliknya lebih suka membuat kerja pejabat,”.
“Mokhzani berkata penubuhan Ideas itu tepat pada masanya ketika kebanyakan industri kini mengalami kekurangan sumber manusia.
“Ideas akan membantu untuk memupuk, meraikan dan menggalakkan pemimpin perniagaan masa depan dalam kedua-dua pasaran tempatan dan global, menyediakan mereka dengan segala yang mereka perlukan dalam industri”.
Sementara itu, Penaung Ideas Dr Aahad Osmangani berkata terdapat 36 pelajar DBA di UIAM dan dipilih khas untuk program ini.
“Kita mahu hanya pelajar yang terbaik dan melalui Ideas, pelajar dapat berinteraksi dengan peserta industri, Ketua Pegawai Eksekutif dan Lembaga Pengarah untuk mendapatkan idea yang lebih baik untuk industri perniagaan,” katanya. – BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment