Cekal Kuasai Bahasa Cina Dorong Amirah Raih 8A

14231944_1392166224131385_4164104060920192083_o

MELAKA – Kecekalan dan semangat tinggi untuk menguasai bahasa Cina menjadi pendorong Amirah Nazihah Azmir Shah memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016.

Beliau berkata semangatnya tidak pernah pudar untuk menguasai bahasa berkenaan iaitu sama seperti mata pelajaran lain, sejak mula mempelajarinya ketika berusia enam tahun walaupun pada mulanya agak sukar.
Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yu Ying, Bukit Godek di sini, itu berkata pencapaian cemerlangnya itu bukan sahaja atas bantuan guru dan rakan-rakan, malah didorong untuk memberi inspirasi kepada adik beradiknya yang turut mengambil mata pelajaran berkenaan di sekolah mereka.
“Di rumah saya sentiasa bercakap dengan adik beradik yang turut ambil bahasa Cina, selain dengan rakan-rakan (kaum) Cina di sekolah. Guru sangat membantu kerana saya tidak pergi tuisyen luar,” katanya selepas majlis Pengumuman Analisis Keputusan UPSR 2016 Melaka disempurnakan Pengarah Pendidikan Melaka, Abu Bakar Sahari, di sini hari ini.
Amirah Nazihah berkata kelebihan berbahasa Cina juga membuka jurang pergaulan dan komunikasi antaranya dengan pelajar di sekolah, dan keputusan 6A 2B dalam peperiksaan percubaan UPSR mendorong dirinya untuk berusaha lebih gigih bagi memperoleh gred lebih baik.
“Saya amat kecewa dengan keputusan percubaan kerana mendapat B dalam subjek Matematik dan Sains, namun ia tidak menyebabkan saya berasa rendah diri sebaliknya kesungguhan untuk belajar dengan lebih baik meningkat agar dapat berjaya dalam UPSR,” kata anak pasangan Noraini Osman, 45, dan Azmir Shah Zaiton Ahmas, 47, dari Bukit Godek itu.
Anak ketiga dari lima beradik yang bercita-cita menjadi peguam itu, berkata beliau berhasrat belajar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yok Bin atau Kolej Yayasan Saad, dan mengambil subjek bahasa Cina bagi memantapkan lagi tahap penguasaan bahasa tersebut.
Noraini berkata keputusannya dan suami menghantar Amirah Nazihah dan empat lagi anak mereka ke sekolah aliran Cina, adalah bagi memberi kelebihan kepada mereka untuk menguasai tiga bahasa, selain bahasa Melayu dan Inggeris.
“Walaupun saya tidak tahu atau mempunyai asas bahasa Cina, saya anggap ia penting pada masa kini,” kata pegawai bank berkenaan.
Sementara itu, Guru Pendidikan Khas Integrasi (Masalah Pembelajaran) Sekolah Kebangsaan Serkam Darat, Merlimau di Jasin, Hartini Mohd. Sidek berkata kecemerlangan anak muridnya Sharifah Mastura Saed Hussin, 12, merupakan satu hadiah yang terbaik dalam hidupnya sebagai guru.
Beliau berkata walaupun Sharifah Mastura mempunyai masalah pembelajaran, anak muridnya itu cemerlang apabila memperoleh keputusan kompeten terpuji bagi dua peringkat Pro Khas Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah bagi lima subjek.
Katanya Sharifah Mastura mempunyai kemahiran membaca dan mengira yang baik dan dapat menyelesaikan projek khas perlu diselesaikan bagi subjek Kemahiran Hidup, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains.
“Sharifah Mastura antara pelajar cemerlang dalam aliran pendidikan khas walaupun mempunyai sedikit masalah komunikasi. Dia tidak dapat masuk ke aliran perdana kerana tidak dapat menguasai silibus yang ada, namun saya yakin dia boleh pergi lebih jauh dan berjaya dalam hidupnya,” kata beliau.
Sharifah Mastura yang merupakan anak kedua daripada lima beradik tidak ditemani bapanya Saed Hussin Saed Mohammad, 40-an, yang bekerja di Projek Rimbunan Kasih untuk mengambil keputusan itu, manakala ibunya Zareah Jaafar, 37, tidak sihat kerana terpaksa menjalani rawatan kimoterapi apabila disahkan menghidap kanser payu dara, awal tahun ini.
Bagi ibu seorang pelajar pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Tambak Paya di sini, Azizah Aman, 47, beliau tidak menyangka anaknya, Siti Maisara Ramle, 12, mampu memperoleh keputusan cemerlang iaitu kompeten terpuji bagi lima mata pelajaran didudukinya dalam peperiksaan tersebut. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story