Kisah PM Singapura Seronok Cakap Bahasa Melayu

Kisah PM Singapura Seronok Cakap Bahasa Melayu

SINGAPURA – Tidak ramai sedar Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sememangnya pandai berjenaka dalam bahasa Melayu secara spontan waima ketika program protokol rasmi.

Begitulah yang dapat dilihat semasa beliau berhadapan dengan ratusan guru semasa acara Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) apabila sempat ‘geletek’ para hadirin dan berkata, dirinya sering berucap dalam bahasa Melayu.
“Tetapi kali ini dengan begitu banyaknya guru-guru Bahasa Melayu hadir di sini, saya agak takut sekali! (ketawa) Namun saya cuba,” ujar Hsien Loong secara bersahaja sebelum memulakan ucapan penuhnya pada majlis tersebut.
Penyampaian AGAB berlangsung malam 12 November lalu menyaksikan 200 orang tetamu meliputi guru subjek Bahasa Melayu, para pengetua, ketua jabatan sekolah dan guru pakar hadir memeriahkan acara tahunan berkenaan.
Untuk rekod, Hsien Loong memang fasih berbahasa Melayu waima beliau sendiri lazim bercakap bahasa tersebut apabila bertemu dengan masyarakat Melayu selain berucap formal ketika persidangan Parlimen di republik itu.
Pemimpin berusia 64 tahun tahun itu bahkan lancar baca dan tulis jawi sejak usia lima tahun kerana didedahkan bapanya, Lee Kuan Yew, perdana menteri yang pertama dengan akhbar terkenal waktu tersebut, Utusan Melayu.
Dalam ucapannya pada acara AGAB itu, Hsien Loong juga menekankan betapa dengan penggunaan bahasa Melayu, guru dapat menerapkan pengetahuan tentang warisan, budaya dan nilai murni dalam diri pelajar tempatan.
“Ini amat penting dalam pembangunan identiti dan semangat keSingapuraan yang berbilang budaya,” ujarnya sambil menekankan betapa “dasar dwibahasa ini memberi permulaan yang baik” kepada rakyat republik tersebut.
Lima orang guru mata pelajaran Bahasa Melayu menerima Anugerah Arif Budiman tahun ini kerana cemerlang dalam mengajarkan subjek berkenaan. Berikut ucapan Hsien Loong dalam bahasa Melayu ketika di majlis AGAB:
Saya berasa senang sekali dapat bersama-sama anda untuk mengiktiraf sumbangan guru-guru bahasa Melayu kita. Hari ini, Anugerah Guru Arif Budiman 2016 akan mengiktiraf lima orang guru bahasa Melayu yang telah memberikan sumbangan bermakna dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
Sudah 50 tahun sejak kita melaksanakan dasar dwibahasa. Tidak banyak negara di dunia yang melakukan sedemikian. Memberikan sokongan kepada para pelajar kita untuk mempelajari kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Ibunda, dari peringkat rendah hingga ke maktab rendah sememangnya mencabar.
Namun, ia satu usaha yang amat bermanfaat. Kini, kita ada keupayaan untuk membangunkan kurikulum bahasa Ibunda kita sendiri sesuai dengan perubahan konteks masyarakat berbilang bangsa Singapura.
Ternyata kita berada di landasan yang betul kerana dasar dwibahasa ini memberi permulaan yang baik. Warga Singapura fasih berbahasa Inggeris untuk bersaing dalam ekonomi global.
Pada masa yang sama, kita menggunakan bahasa Ibunda untuk berhubung dengan masyarakat Asia. Gabungan unik bahasa Inggeris dan bahasa Ibunda merupakan aset yang membezakan kita daripada masyarakat lain.
Kita tahu bahawa warga Singapura, termasuk para pelajar, lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris. Dari itu, saya gembira melihat sekolah-sekolah sentiasa berusaha untuk menyediakan suasana bahasa Melayu yang kondusif agar para pelajar kita rasa seronok menggunakan bahasa Melayu.
Melalui penggunaan bahasa Melayu, kita dapat menerapkan pengetahuan tentang warisan, budaya dan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Ini amat penting dalam pembangunan identiti dan semangat keSingapuraan yang berbilang budaya.
Malah, guru-guru Bahasa Melayu turut memainkan peranan untuk mendorong para pelajar mencapai yang terbaik dalam bidang yang mereka minati, dan mengambil peluang sepenuhnya untuk berjaya dalam Ekonomi Baru.
Hadirin sekalian, peluang untuk meningkatkan pembangunan profesional guru kini semakin banyak. MOE menawarkan pelbagai kursus dalam perkhidmatan atau “in-service training” agar para guru dapat meningkatkan kelayakan akademik mereka di universiti tempatan atau luar negara.
Para guru tidak harus melepaskan peluang ini. Dengan menjadi suri teladan yang menunjukkan semangat untuk belajar sepanjang hayat, guru-guru kita dapat membantu menyuntik semangat yang sama dalam diri belia kita.
MOE akan terus memberikan sokongan yang diperlukan untuk guru-guru kita meningkatkan kemahiran, pengetahuan serta pembangunan profesional mereka. Dengan ini, guru-guru kita akan terus berkembang dan cemerlang.
Usaha untuk mendorong pembelajaran bahasa ibunda memerlukan penglibatan semua pihak. Pemerintah akan terus memberikan sokongan melalui agensi-agensi penggalakan bahasa seperti Majlis Bahasa Melayu Singapura, Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew, Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu, Lembaga Perpustakaan Negara serta Lembaga Warisan Negara.
Saya gembira sekali, pertubuhan-pertubuhan masyarakat juga bergiat aktif dalam menyediakan persekitaran bahasa Melayu kepada anak-anak kita melalui pelbagai usaha.
Kita memerlukan usaha kolektif dalam masyarakat untuk menjadikan Bahasa Ibunda ‘bahasa yang hidup’. Akhir sekali, tahniah saya ucapkan kepada semua penerima Anugerah Guru Arif Budiman tahun ini.
Saya berharap anda akan teruskan perjuangan anda dan menjadi inspirasi kepada para pelajar dan guru bahasa Melayu yang lain. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:
Barang seperahu petai berpapan,
Kayuh perahu ke pulau seberang,
Kalau guru kita Arif Budiman,
Masa depan kita pasti cemerlang.
Terima kasih.
– Agensi/Mynewshub.cc/HAA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story