SELEPAS ceburi bisnes penjualan minyak silinder atau minyak hitam jenama Aerorev, pelakon Soffi Jikan kini memperluaskan empayar perniagaannya apabila mengeluarkan dua minyak wangi khas untuk peminatnya.
Sofi atau Muhammad Sofi Jikan, 46, berkata, minyak wangi yang diberi nama Rockstar dan Superstar itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ia sudah pun terjual sebanyak 2,000 botol hanya dalam masa seminggu.
“Saya memilih minyak wangi sebagai memperluaskan perniagaan saya kerana melihat ia mempunyai permintaan tinggi daripada pengguna malah berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.
“Alhamdulillah hanya dalam masa seminggu ia dilancarkan Rockstar dan Superstar sudah pun terjual sebanyak 2,000 botol.
“Malah rata-rata memberikan ulasan yang cukup baik dan menyukai baunya,” katanya kepada mStar Online.
Sofi berkata, pengeluaran minyak wangi itu adalah menerusi syarikatnya, Pro Rev Wealth Enterprise bersama rakan kongsi iaitu Firdaus Mohd. Hafiz Rozali dan Airol Irwan Limin.
Dalam pada itu, Sofi berkata, bagi memastikan kualiti minyak wangi berkenaan yang terbaik pihaknya menggunakan pati dari Perancis dan Mesir yang lebih tahan lama.
Tambahnya, dia juga mengambil contoh beberapa jenama popular dalam kalangan penggemar minyak wangi dalam menghasilkan Rockstar dan Superstar.
“Saya tidak mahu sambil lewa sahaja apabila mengeluarkan minyak wangi ini dan terlebih dahulu membuat kajian apa yang pelanggan suka.
“Sebab itu juga kami mengambil pati wangian daripada Perancis dan Mesir kerana ia berkualiti tinggi,” jelasnya.
Tambah Sofi, dia juga membuka kepada mana-mana individu yang ingin menjadi stokis menjual minyak wangi berkenaan dan memberitahu sudah pun mempunyai stokis di Singapura dan Brunei.
Kata Sofi, dengan cara itu juga dia dapat membuka peluang kepada orang lain untuk menambahkan pendapatan dengan menjual minyak wangi berkenaan.
Sementara itu, selain stokis, Sofi berkata, dia turut menjual sendiri minyak wangi berkenaan kepada pelanggan kerana ia salah satu cara untuk mendekati peminat dan mendapatkan maklum balas segera.
“Ketika ikut promosi Rock Bro dan mengadakan persembahan pentas saya jual sendiri dan sebenarnya saya lebih puas hati dengan cara itu kerana saya dapat bertemu peminat dan bertanya pendapat tentang produk saya.
“Selepas ini saya akan banyak mengadakan konsert mini di seluruh Malaysia dan akan turut menjual minyak wangi ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sofi berkata, sebahagian hasil penjualan minyak wangi itu ketika jelajah promosi Rock Bro akan didermakan kepada pelakon Norazmi Bahron yang menderita penyakit meningitis (radang selaput otak).
Kata Sofi, Norazmi yang popular dengan watak Black dalam filem itu menderita penyakit berkenaan sejak beberapa bulan lalu dan berharap wang derma itu akan meringankan bebannya.
“Saya menderma RM1 daripada setiap botol yang terjual pada jelajah promosi Rock Bro baru-baru ini dan Alhamdulillah 2,000 botol terjual dan dapat menyerahkan kepadanya RM2,000.
“Walaupun ia amaun yang kecil namun saya berharap ia dapat meringkan bebannya dalam mendapatkan rawatan di hospital.
“Sebagai rakan ini adalah sumbangan kecil daripada saya dan berharap Norazmi akan kembali sihat,” ujarnya. – mStar Online
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment