SETIAP hari selepas waktu persekolahan, Chen Xiaohua yang berusia 12 tahun, akan duduk di bawah pondok telefon di tepi jalan di bandar Jiaxin, tanpa mempedulikan sama ada cuaca hujan atau cerah.
Chen berbuat demikian kerana dia terpaksa menggunakan cahaya daripada pondok telefon itu untuk membuat kerja rumah dan keadaan itu sudah berlarutan selama empat tahun.
Sambil membuat kerja sekolah, dia akan menunggu ibu dan bapanya, yang bekerja sebagai tukang sapu jalan untuk pulang ke rumah bersama-sama.
Tanpa merungut, dia menggunakan kerusi sebagai meja dan duduk di atas kusyen ketika membaca buku.
Menurut bapanya, Chen Fukang, anaknya itu membuat kerja rumah di situ sejak dia di tahun satu lagi manakala dia dan isterinya pula bekerja di jalan berhampiran.
Mereka berasal dari Anyue, di wilayah Sichuan dan disebabkan mereka bimbang anak mereka membuat kerja rumah sendirian di rumah sewa yang mereka diami, Fukang dan isterinya tiada pilihan lain kecuali menyuruh Chen membuat kerja rumah di pondok telefon.
“Saya habis kerja pada pukul 10 malam manakala isteri saya pula perlu bekerja di restoran sehingga pukul 8 malam, selepas dia habis kerja menyapu jalan.
“Kami habis kerja agak lambat. Terdapat sungai di sebelah rumah sewa kami dan banyak budak terjatuh ke dalam sungai itu.
“Kami bimbangkan keadaan Chen. Dia akan dijemput oleh ibu mertua saya dari sekolah pada pukul 3.50 petang dan akan membawanya ke pondok telefon di jalan Zhongshan Timur,” katanya.
Fukang berkata, satu-satunya cara untuk mengubah kehidupan adalah dengan mendapat pendidikan dan berharap anaknya itu dapat melanjutkan pengajian di universiti.
“Saya berharap dia dapat ke universiti. Sekurang-kurangnya dia dapat belajar dan dengan cara itu ia akan memberikan kelebihan kepadanya ketika bergaul dengan masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun Fukang berasa bimbang kerana anaknya itu tidak mendapat markah yang elok di sekolah. – Mynewshub.cc
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment