Libya – Anak ketujuh bekas pemimpin Libya, Khamis al-Qaddafi disahkan terbunuh selepas ditangkap, semalam.
Khamis, yang juga komander tentera dan bertanggungjawab ke atas brigade Khamis, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan ketika ditangkap.
Anak lelaki bongsu Muammar Gaddafi itu terbunuh pada hari genap setahun pemergian bapanya.
Bagaimanapun terdapat laporan yang bercanggah apabila Ketua Kongress Kebangsaan Libya, Mohammed Maqrif memberitahu, Khamis maut dalam satu pertempuran di Bani Walid.
Pemuda berusia 28 tahun itu sebelum ini dilaporkan sudah beberapa kali terbunuh termasuk semasa serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada bulan Ogos tahun lalu.
Berita kematiannya itu disambut dengan kegembiraan oleh penduduk Misrata iaitu bandar yang pernah berada di bawah kawalan brigade Khamis selama enam bulan.
Mayat Khamis dipercayai telah dibawa ke Misrata, untuk dikebumikan di kawasan perkuburan yang sama dengan ayahnya, Allahyarham Muammar.
Khamis, yang masih bujang, pernah menuntut di akademi ketenteraan Rusia, merupakan salah seorang daripada anak Muammar yang berada di barisan depan tentera Libya semasa era pemerintahannya.
Malah penubuhan brigade Khamis juga adalah bagi membolehkan dia berkhidmat dengan bapanya.
Bagaimanapun angkatan tentera brigade Khamis telah dikaitkan dengan jenayah membunuh, menyiksa dan merogol.
Abangnya, Saif Al-Islam, kini ditahan di penjara Libya atas dakwaan melakukan jenayah perang.
0 comments:
Post a Comment