Pussy Riot Dihantar Ke Penjara Di Siberia

Pussy Riot

Rusia – Dua anggota kumpulan punk, Pussy Riot yang menjadi terkenal selepas ditangkap kerana mengadakan persembahan menentang Presiden Vladimir Putin, akhirnya dihantar ke penjara paling teruk di negara berkenaan.
Mereka didapati bersalah kerana menyanyikan lagu-lagu anti-Putin termasuk `Putin Got Scared’ di gereja.
Kedua-duanya bakal dihantar ke penjara di Siberia untuk menjalani hukuman selama dua tahun.
Hukuman yang disifatkan sebagai kejam oleh negara barat itu, terpaksa dilalui oleh Maria Alyokhina, 24, dan Nadezhda Tolokonnikova, 22, selepas rayuan mereka ditolak.
Manakala anggota ketiga kumpulan itu, Yekaterina Samutsevich, dibebaskan selepas mahkamah menangguhkan hukuman ke atasnya.
Ini kerana peguamnya menegaskan, Samutsevich telah ditarik ke altar ketika lagu protes berkenaan dinyanyikan.
Tolokonnikova telah dihantar ke penjara di kawasan berpaya di Mordovia, yang terletak kira-kira 300 batu dari timur Moscow.
Manakala Alyokhina pula dihantar ke wilayah Perm, yang terletak 700 batu dari Moscow.
Kawasan berkenaan menempatkan beberapa penjara yang disifatkan paling teruk di Rusia.
Mengikut undang-undang, anggota keluarga pesalah perlu dimaklumkan sebaik sahaja pesalah tiba di penjara terbabit, namun perjalanan ke penjara itu memakan masa berhari-hari, justeru belum diketahui di mana mereka ditempatkan.
Kedua-dua mereka sebelum ini ditahan di pusat tahanan di Moscow sejak ditangkap Mac lalu.
Biarpun hukuman itu mendapat tentangan termasuk selebriti Madonna dan Paul McCartney, namun pentadbiran Putin menegaskan kerajaannya perlu bertindak tegas.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story