Ibu Dan Anak Baru Lahir Ditemui Mati Berlumuran Darah Di Bilik Tidur, Tandas

Ibu Dan Anak Baru Lahir Ditemui Mati Berlumuran Darah Di Bilik Tidur, Tandas

KULIM – Seorang suri rumah dan seorang bayi baru lahir ditemui mati dalam bilik utama dan bilik air sebuah rumah teres di Taman Kekwa di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata polis mendapat maklumat yang membawa penemuan dua mayat itu kira-kira pukul 2.30 petang daripada seorang jiran mangsa yang dikatakan hairan kerana mangsa tidak keluar dari rumah dan mengambil anak-anaknya di sekolah seperti biasa.
“Jiran tersebut memaklumkan kepada polis yang kemudian pergi ke rumah berkenaan dan mendapati mayat seorang perempuan yang dikenali sebagai Shaniza Idris, 27, berlumuran darah dalam keadaan tertiarap dalam bilik utama sementara mayat seorang bayi yang baru dilahirkan pula ditemui dalm bilik air rumah tersebut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa adalah isteri kepada seorang konstabel sokongan yang bertugas di Balai Polis Kulim dan ketika kejadian sedang berkursus di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.
Ghuzlan berkata kematian mangsa pada awalnya dipercayai akibat keguguran tetapi dalam siasatan polis mendapati bahawa tiada sebarang rekod daripada Klinik Kesihatan dan sebagainya yang ditemui mengesahkan bahawa mangsa sedang mengandung.
Katanya mayat kedua-duanya dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat, yang sedang dijalankan pakar forensik dari Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan mungkin keputusannya akan dapat diketahui lewat petang ini.
“Kita mengkategorikan kematian tersebut adalah mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, jiran mangsa yang tinggal di hadapan rumah berkenaan, Rohizat Abdul Rahim, 49, dan isterinya Normah Ali, 48, telah pergi ke rumah mangsa setelah mendengar salah seorang dari tiga anak mangsa menangis.
Rohizat berkata setiap hari Shaniza akan menghantar anaknya ke sekolah dan selepas pulang terus menutup pintu dan berada dalam rumah, dan pukul 1 tengah hari akan keluar sekali lagi mengambil anaknya di sekolah.
“Semalam anak sulungnya pulang bersendirian dan saya dengar anak yang lain menangis kuat dalam rumah itu lalu saya suruh isteri saya ke rumah mangsa untuk memastikan sebab anak itu menangis,” Rohizat.
Sementara itu, Normah berkata apabila dia masuk ke dalam rumah itu dia mendapati terdapat beberapa tompokan darah di lantai dari bilik air hingga ke bilik tidur utama rumah itu dan mendapati Shaniza terlentang kaku hanya memakai coli tanpa pakaian lain dan sudah tidak bernyawa lagi.
“Lalu saya menjerit minta tolong daripada jiran-jiran bersebelahan dan menutupnya dengan sehelai selimut. Pada ketika itu saya tidak pasti sama ada terdapat mayat seorang bayi dalam bilik air di rumah itu kerana saya menumpukan untuk membantu Shaniza dengan meminta bantuan jira-jiran memanggil polis dan ambulans,” katanya yang merupakan orang pertama masuk ke rumah tersebut untuk mengetahui sebab salah seorang anak mangsa menangis begitu kuat.
Suami mangsa Asmadi Ahmad, 28, yang ditemui di bilik forensik Hospital Kulim kelihatan sugul dan trauma atas tragedi yang berlaku terhadap terhadap isterinya.
Dia yang tidak banyak bercakap berkata mayat isteri dan anaknya itu akan dikebumikan di Pokok Sena petang ini.
“Kematian ini adalah satu tragedi pada diri saya dan saya amat terkilan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, kerana anak-anak kami tanpa ibunya di hari raya ini,” katanya dengan nada tertekan.
Hasil perkongsian hidup Asmadi dan Allahyarham Shaniza, mereka mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki Mohd Danial, 7, yang bersekolah di Tahun Satu, dan Mohd Dani, 4, serta Puteri Dayana, 1. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story