PUTRAJAYA — Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memuji sikap penonton final Piala Malaysia malam semalam yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi.
Katanya, sikap sedemikian perlu diteruskan pada masa-masa akan datang terutama ketika skuad negara bersaing mempertahankan Piala AFF Suzuki bulan depan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penonton yang saya kira menunjukkan sikap profesional, tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Anak Perantau Lembah Klang, di sini hari ini.
Pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Selangor itu, Kelantan menundukkan Angkatan Tentera Malaysia 3-2 di hadapan kira-kira 70,000 penonton.
Mengulas perlawanan itu, Ahmad Shabery menyatakan rasa puas hati dengan kualiti dan corak permainan yang dipamer kedua-dua pasukan namun mahu tahap kecergasan dan ketahanan fizikal dipertingkat, terutama bagi pemain yang mewakili negara. — BERNAMA
0 comments:
Post a Comment