Sheikh Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Al-Tayyeb akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 13 November ini.
Ulama terkenal itu dijangka berada di negara ini selama tiga hari sebelum berlepas pulang ke negaranya.
Menurut sumber, beliau akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebelum menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.
Dr. Ahmad juga dijangka akan menyampaikan syarahan perdana anjuran Institut Diplomasi Dan Hubungan Antarabangsa (IDFR) mengenai Global Movement of Moderates (GMM) di situ.
Menariknya, beliau juga aka mengadakan pertemuan bersama imam dan ulama seluruh negara selain hadir pada perhimpunan sambutan Maal Hijrah pada kali ini.
Semoga kehadiran ulama besar seperti Dr. Ahmad ini akan membolehkan kita semua berkongsi pandangan dan idea ilmuwan agama berkenaan mengenai Islam dan cabaran yang bakal dan sedang ditempuh dalam dunia globalisasi yang penuh mencabar.
Berasal dari Murasyida, Dishna, Qarna, al-Aqsar (Luxor), Mesir pada tahun 1946, Dr. Ahmad berkelulusan B.A. Usuluddin, M.A. Akidah & Falsafah dan PHD Akidah & Falsafah, Universiti al-Azhar.
Beliau seorang yang fasih berbahasa Perancis dan bahasa Inggeris serta mempunyai kepakaran khusus dalam bidang tasawuf, akidah, falsafah dan fiqh
Dr. Ahmad pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti U.A.E, Universiti Qatar dan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Islamabad, Pakistan serta Pusat Thaqafah Islam di Paris, Perancis.
Beliau juga pernah menjawat Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Pengajian Islam, al-Azhar cawangan Aswan, Mesir, Mufti Besar Mesir dari tahun 2002-2003 dan seterusnya Rektor Universiti al-Azhar as-Syarif.
Difahamkan, Dr. Ahmad pernah datang ke Malaysia pada tahun 2008 sempena Multaqa Alumni al-Azhar yang diadakan di Kuala Lumpur.
Dari segi protokol antarabangsa, Syekh al-Azhar adalah bertaraf Perdana Menteri.
Selamat datang Dr. Ahmad! sumber:mynewshub
0 comments:
Post a Comment