‘Kes Curi Baju Kes Bodoh’ – Awal Ashaari

‘Kes Curi Baju Kes Bodoh’ – Awal Ashaari

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara lelaki, Awal Ashaari menyifatkan kes pasangan artis yang dikaitkan dengannya dan isteri, Scha Al-Yahya mencuri baju di gedung jual beli pakaian, H&M adalah kes bodoh dan tidak berasas.
Isu mencuri pakaian berharga RM2,000 yang mengaitkan nama Awal dan Scha pada majlis pelancaran gedung itu membuatkan dia semakin pening.
Bagi Awal, isu mencuri itu sepatutnya tidak timbul memandangkan dia dan Scha dijemput sendiri oleh gedung H&M untuk meraikan pembukaan gedung yang pertama di Malaysia.
Malah, Awal juga memaklumkan dia mendapat banyak barangan percuma dari gedung itu.
“Saya betul-betul tak faham. Kejap orang tuduh isteri saya, kejap orang tuduh saya, pening saya dibuatnya.
“Saya dengan Scha dijemput ke majlis tersebut di mana sehari sebelum itu kami telah diberi dua buah beg yang berisi dengan pelbagai barangan butik tersebut. Jadi, bila pergi ke majlis pelancaran itu dan orang cakap kami ambil lagi barang bernilai RM2,000, saya rasa bodoh sangat isu ini,” kata Awal yang dipetik dari portal Gua.com.
Awal juga menyifatkan isu mencuri itu sebagai bahan lawak kerana ramai rakan artis akan bertanyakan kesahihan berita itu dari pihaknya sendiri.
Tanggapannya itu juga disambut dengan pendapat ramai artis yang tidak percaya dengan cerita kononnya Awal dan Scha kaki mencuri.
“Benda ini juga dah jadi satu bahan lawak. Bila orang jumpa kami saja mereka akan cakap, kami ada ambil barang ke. Perkara ini dah jadi benda kelakar kerana bagi saya, orang pun dah tahu saya dan Scha jenis yang macam mana.
“Rakan artis yang lain bila dengar pasal isu ini pun mereka pelik. Ini kerana kebanyakan orang tak percaya dengan isu ini, malah lagi marah sebab mereka anggap isu ini bodoh,” katanya.
Justeru, untuk membersihkan namanya semula, Awal akan menyiasat punca tersebarnya cerita fitnah tersebut.
Dengan cara itulah Awal berharap agar namanya dan Scha akan bersih semula.
“Saya nak tahu dari mana punca benda ni disampaikan dan siapa yang menyebarkan perkara ini. Ada orang cakap isu ini datang dari blog dan saya akan siasat mengenai perkara ini. Saya sendiri kesian dengan Scha kerana saya tahu dia tidak bersalah dalam hal ini,” kata Awal.
Bulan lalu, timbul cerita mengenai pasangan artis dilaporkan telah mencuri sehelai pakaian bernilai RM2,000 di gedung H&M di ibu kota.
Dikatakan juga pasangan artis itu telah keluar dari gedung tersebut tanpa membayar pakaian tersebut terlebih dahulu.
Cerita itu bertebaran dalam dunia hiburan melalui rancangan gosip televisyen mahu pun di corong-corong radio.
Sejak cerita itu timbul, nama Awal dan Scha telah diseret menjadi mangsa kes mencuri baju itu.
Oleh: NAIMAH SHAARI

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story