KUALA LUMPUR – Semalam timbul satu cerita yang mengejutkan apabila penyanyi lagenda rock Malaysia, Suhaimi Abdul Rahman, 53, atau Amy Search secara tiba-tiba mengumumkan di laman Twitternya restoran bertemakan makanan Cina miliknya terpaksa ditutup.
Semua peminat-peminat Amy khususnya yang suka menjamu selera di Restoran Cheng Ho miliknya meluahkan rasa terkejut.
Menerusi laporan mStar Online hari ini, Amy memberitahu punca penutupan restoran itu adalah kerana perniagaan restoran tidak berjalan lancar selepas memberikan tanggungjawab menjaga restoran itu kepada seorang kawannya.
Walaupun sudah beroperasi selama empat tahun, Amy terpaksa akur dan mengakui sedih perniagaan restoran Cheng Ho yang bertempat di Wangsa Maju itu sudah pun berakhir.
“Apa pun, saya tetap sedih kerana perniagaan ini sudah lama dijalankan tetapi akhirnya terpaksa ditutup,” kata Amy.
Bercerita mengenai pembukaan restoran ala Cina itu, Amy memulakan perniagaan itu empat tahun lalu dengan modal sebanyak RM250,000.
Pada Jun tahun lalu, Amy menyerahkan tanggungjawab untuk menguruskan perniagaan restoran itu kepada seorang sahabatnya.
Bagaimanapun, Restoran Cheng Ho terpaksa ditutup kerana tanggungjawab yang diberikan kepada sahabatnya menyebabkan pelbagai masalah timbul.
Untuk rekod, Amy pernah menerima saman daripada Nik Zahir Nik Mohd Idris bagi pihak anaknya, Nik Zakwan, 6, atas kecuaian pekerja Amy sewaktu bertugas.
Akibatnya, Nik Zakwan melecur pada bahagian belakang badan kerana terkena kuah tom yam yang panas.
Penyanyi itu diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil di sini pada Mei 2010 untuk membayar ganti rugi sebanyak RM18,000 kepada keluarga Nik Zahir.
Oleh: NAIMAH SHAARI
Oleh: NAIMAH SHAARI
0 comments:
Post a Comment