Isu Air: Rakyat Selangor Terus Gelisah…


Rakyat Selangor Terus Gelisah...
KUALA KUBU BHARU – Hujan makin mencurah. Namun tidak banyak perubahan dari segi kuantiti air di kebanyakan empangan di negeri Selangor terutama Empangan Sungai Selangor sendiri yang terletak di sini.
Ini menunjukkan ‘kehilangan’ air di empangan ini sudah semakin serius sehinggakan kadar hujan yang turun beberapa hari ini tidak mampu menginjakkan kandungan air ke paras yang memuaskan.
Mungkin sudah tiba masanya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Bekalan Air Selangor ‘turun padang’ untuk melihat sendiri masalah tersebut setelah masalah itu nampaknya dipandang enteng oleh Menteri Besar Selangor sendiri, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Biarkan kalau Khalid enggan mengakui masalah empangan itu, Muhyiddin boleh ambil alih peranan tersebut.
Tunjukkan pada rakyat Selangor, sekiranya pemimpin mereka sendiri ambil mudah, kerajaan Persekutuan sendiri akan mengambil alih peranan itu dan berusaha untuk memperbaiki keadaan.
Sementara itu, tinjauan Mynewshub.my di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu mendapati ramai yang mula gelisah dengan sikap pemimpin kerajaan negeri yang terus memfokus isu tersebut berdasarkan kepentingan mereka, bukan pada kepentingan penduduk secara keseluruhannya.
Bagi mereka, sekiranya Khalid lebih memahami masalah air yang semakin meruncing dan mencari jalan penyelesaian krisis tersebut, masalah air tidak perlu diketengahkan dari masa ke semasa.
Menurut, Mohd. Fauzi Manivanan, 51, berkata, seharusnya pemimpin negeri itu mengetepikan politik dalam menangani kekurangan bekalan air mentah dan air terawat di Selangor.
Katanya, segala masalah yang timbul di negeri itu perlu dicari jalan penyelesaiannya dan bukannya bercakap kosong tanpa sebarang tindakan.
“Pendapat saya, masalah air ini sudah lama terjadi dan berlaku. Masalah itu memang ada, tapi jalan penyelesaiannya yang tidak ada.
“Kalau betul ingin wujudkan kerajaan negeri Selangor yang berkebajikan, dahulukan kehendak dan keperluan rakyat. Jangan dianggap semua masalah itu sebagai politik. Kepentingan rakyat perlu dijaga,” katanya ketika ditemubual Mynewshub.my di sini baru-baru ini.
Mohd. Fauzi berpendapat, kerajaan negeri sekarang ini seolah-olah tercabar dengan keputusan kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu air di sini.
Kerajaan pusat sebelum ini menggesa kerajaan negeri Selangor untuk menyetujui pembinaan Loji Langat 2 berikutan bekalan air terawat semakin kurang.
Namun, cadangan dan gesaan tersebut dipandang mudah oleh pihak kerajaan negeri hinggakan krisis air semakin meruncing.
“Semua orang, rakyat di negeri ini tahu sekiranya kerajaan negeri setuju dengan cadangan kerajaan pusat, itu menandakan mereka tunduk kepada arahan kerajaan pusat. Maka, itu menunjukkan mereka lemah. Mereka pastinya terasa tercabar. Dalam minda mereka sudah tertanam yang sekiranya mereka mengatakan setuju, itu tandanya mereka kalah.
“Air adalah keperluan dalam hidup manusia. Selagi air tidak dipentingkan, maka, kerajaan negeri tidak mendahulukan rakyat,” tegasnya.
Seorang penduduk yang ditemui, Ibrahim Manap, 51, berkata, tidak ramai rakyat yang tahu dan memahami krisis air yang melanda negeri Selangor.
Dengan itu, dia berharap agar kerajaan negeri sentiasa peka dengan masalah kekurangan air yang membolehkan kejadian krisis air pada tahun 1997 berulang lagi.
Malah, Ibrahim juga berharap agar Khalid sentiasa peka untuk memberitahu perkara sebenar kepada rakyat Selangor dan mencari jalan penyelesaian masalah air yang sudah berlanjutan selama beberapa bulan.
“Krisis air yang melanda sekarang ini berada dalam keadaan teruk dan kritikal. Jadi, tak ramai orang yang tahu. Janganlah air, benda hidup dibuat main-main.
“Masalah air memang akan timbul setiap hari. Akan ada sahaja cerita isu air di sana sini. Tapi, janganlah diputar belitkan soal masalah air,” kata Ibrahim.
Tinjauan Mynewshub.my ke Empangan Sungai Selangor minggu menunjukkan bekalan air mentah semakin susut.
Bacaan meter bekalan air di menara empangan itu juga dikatakan sudah 40 peratus susut dari paras sebenarnya.
Krisis air ini dikhabarkan akan menjadi lebih kritikal dalam masa 20 hari lagi sekiranya jumlah takungan air di empangan itu tidak meningkat.
Oleh: SORAYA IMAN
Foto: YUMNI HARUN

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story