Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan digesa menyiasat lagu Harapan Bangsa nyanyian Jaclyn Victor yang didakwa menyentuh sensitiviti penganut agama lain di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekiranya didapati lagu berkenaan benar-benar mempunyai unsur seperti didakwa, tindakan berlandaskan undang-undang perlu diambil segera.
Menurut Utusan Malaysia, beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran memberitahu, lagu berkenaan tidak sesuai disiarkan kerana bimbang akan menimbulkan keresahan dalam kalangan penganut agama lain yang mungkin menganggapnya sensitif.
“Setelah meneliti lirik lagu ini, pada rangkap korusnya ada menyebut `setiap suku, setiap kaum dan setiap bangsa kan menyembah di tahtah (takhta) mu’ memberi gambaran seolah-olah orang Melayu Islam juga begitu.
“Dia (Jaclyn) kena sensitif, dalam lirik itu juga jelas menunjukkan `Yesus (Jesus) adalah tuhanku’. Kalau dia sebut setiap penganutmu, orang faham penganut agamanya (Kristian) saja tetapi jangan sebut setiap suku, kaum dan bangsa di negara ini yang turut meliputi orang Melayu.
“Saya harap Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan boleh merujuk perkara ini kepada Jakim untuk memastikan sama ada lagu berkenaan benar-benar menyentuh soal akidah,” katanya.
Sementara itu portal Mstar.com.my hari melaporkan yang Jakim sedang menyiasat dakwaan lagu ‘Harapan Bangsa’ nyanyian Jaclyn itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha pada Jumaat memberitahu mStar Online bahawa jabatan itu mengambil perhatian terhadap gesaan segelintir pihak yang meminta siasatan dibuat berhubung perkara itu.
“Jakim sedang menyiasat mengenai dakwaan itu sama ada ia benar atau tidak dikatakan menyentuh sensitiviti penganut agama lain di negara ini.
“Kami juga akan membuat penelitian secara telus mengenai sumber, sasaran dan tujuan lagu berkenaan sewajarnya,” katanya.
Othman menambah, siasatan yang dilakukan oleh Jakim bertujuan untuk memperoleh pengesahan sebenar bagi mengelak kekeliruan masyarakat terutama umat Islam di negara ini.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula bertindak menyeru supaya memboikot album dan persembahan Jaclyn Victor berikutan dakwaan lagu penyanyi itu tidak sensitif dan tidak menghormati penganut agama lain.
Dilaporkan, Jaclyn dipetik sebagai berkata lagu itu dirakam sekitar 2007 khusus untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta pihak gereja.
Menurut Jaclyn lagi, sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan agama, isu lagu Harapan Bangsa tidak perlu dipertikaikan.
“Sebagai seorang penganut kristian, rasanya tidak salah jika saya yang beragama Kristian menyanyikan lagu itu.
“Lagipun, ia bukan untuk tujuan komersial. Jadi mengapa perlu mempertikaikan lagu yang sudah lama dirakamkan itu?” soalnya.
0 comments:
Post a Comment