Adik Beradik ‘Pendekar Cangkul’ Didenda RM 5K

Adik Beradik 'Pendekar Cangkul' Didenda RM5,000

DUA beradik ‘pendekar cangkul’ didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majestret Kulai selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan kakitangan SAJ Holding Sdn. Bhd. (SAJ) minggu lalu.

Youzairy Ya’acob, 36, dan adiknya Mohd Youzaimeer, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majestret Ahmad Farid Ahmad Kamal.
“Sepatutnya kamu adik-beradik berbincang dengan lebih matang dalam isu bayaran bil (air), bukan isu besar pun yang perlu kamu menggunakan keganasan.
“Mahkamah ingin ingatkan, bahawa keganasan bukan caranya,” kata Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal yang juga berharap kedua tertuduh insaf selepas tujuh hari ditahan reman di dalam lokap.
Memetik laporan Harian Metro, Youzairy didakwa mengikut Seksyen 351 Kanun Keseksaan, dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan menyerang Muhammad Khairuzzaman Yaakub, 30, menggunakan sebatang cangkul.
Dia yang juga merupakan bapa kepada dua anak turut didenda RM2,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua iaitu sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Aysraf Abd Ghani, 20.
Selain itu, Youzairy dan Mohd Youzaimeer turut didenda RM2,000 atua empat bulan penjara setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah bagi tuduhan bersama-sama menyebabkan kecederaan pada Muhammad Khairuzzaman.
Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Adik Beradik 'Pendekar Cangkul' Didenda RM5,000
Mohd Youzaimeer juga turut didenda RM3,000 atau empat bulan penjara bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Asyraf dengan menggunakan topi keledar mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili oleh peguam Haniza Yazed, membuat rayuan bagi meringankan hukuman kerana Youzairy kini tidak bekerja selepas insiden berkenaan.
“Dia mempunyai dua anak dan isterinya berkerja sebagai pembantu kedai makan. Sebelum ini dia mempunyai pendapatan RM1,600 sebulan tetapi kini sudah tidak bekerja kerana diberhentikan oleh majikan. Manakala Youzaimeer pula belum berkahwin dan bekerja,” katanya.
Menurut Haniza, tertuduh berasal dari keluarga yang tidak berkemampuan dengan kedua ibu bapanya masing-masing sudah berusia 63 dan 71 tahun.
“Mengenai kejadian itu, tertuduh insaf dengan perbuatan mereka, namun apa yang menyebabkan kedua-duanya hilang sabar apabila tindakan memotong bekalan air itu membabitkan rumah kedua ibu bapa mereka yang tidak mampu membayar bil air,” katanya.
Youzairy dan Youzaimeer melakukan kesalahan itu pada 11.45 pagi, 18 Oktober lalu di M-231-1, Kampung Melayu yang menyebabkan kecederaan pada dua wakil kakitangan SAJ yang kemudiannya viral di media sosial. – MYNEWSHUB.CC




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story