PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz mengakui dia lebih banyak menerima rezeki dalam bidang lakonan berbanding nyanyian selepas mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, Aliff atau nama sebenarnya, Mohamad Aliff Aziz, 26, berkata, dia bersyukur dan menerima apa juga rezeki yang sudah ditetapkan Allah dalam industri seni ini.
“Orang cakap ada rezeki yang Allah sudah tetapkan untuk orang yang ingin berkahwin dan orang yang sudah berkahwin, saya percaya Allah sudah aturkan semuanya macam sekarang banyak rezeki saya dalam bidang lakonan.
“Selepas drama bersiri Meh Sandar Pada Aku bersama Mira Filzah, saya menerima tawaran untuk telefilem berjudul Love You Miss Pomen yang akan bersiaran tahun depan,” ujarnya kepada mstar Online.
Tambah Aliff dia masih belum sempat untuk berbulan madu disebabkan jadual kerja yang padat dengan penggambaran drama.
Penyanyi lagu Sayang Sayang Aliff Aziz selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihannya Dayang Nabella, 22, pada 9 September lalu.
Sementara itu, bercerita tentang perkembangan rumah tangganya, Aliff berkata, dia dan Bella masih belajar untuk menjalani kehidupan secara bersama sebagai suami isteri.
Katanya, mereka masing-masing belajar untuk bertolak ansur dan memahami tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri.
“Sudah lebih sebulan dan semuanya berjalan lancar, kehidupan saya lebih terurus sejak beristeri.
“Banyak juga perkara baru yang kami pelajari berdua. Dalam tempoh ini juga saya perlu kerja kuat untuk menampung kehidupan keluarga,” ujarnya.
Ditanya tentang cahaya mata, Aliff berkata, dia berserah kepada Allah untuk memberi rezeki tersebut.
“Ada kawan saya terlalu merancang, tapi dapat anak segera dan ada pula yang terlalu ingin anak tapi belum dikurniakan lagi.
“Jadi, bagi saya biarlah Allah yang tentukan waktu yang dirasakan sesuai untuk saya menerima cahaya mata. Kalau cepat atau lambat saya terima sahaja,” ujarnya. –mStar Online
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment