PELAKON Saharul Ridzwan berhasrat untuk membawa isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir mengerjakan ibadah umrah sebagai hadiah bulan madu perkahwinan mereka.
Saharul atau Mohd. Saharul Ridzwan Hashim, 27, berkata, semenjak berkahwin pada September lalu mereka masih belum berkesempatan untuk berbulan madu secara berdua-duaan dan memilih Tanah Suci bagi tujuan itu.
“Kami sebenarnya ada pergi berbulan madu di beberapa destinasi seperti Thailand, Singapura dan Batam tetapi ia atas tajaan malah ada lokasi turut ditemani oleh kru produksi untuk penggambaran.
“Kiranya percutian kami itu bukan secara berdua-duaan jadi sebab itu saya berhasrat untuk sekali lagi membawa isteri berbulan madu dan memilih Tanah Suci sebagai lokasi.
“Pemergiaan kami ke sana nanti hanya berdua sahaja dan Insya-Allah jika tiada halangan pada awal tahun hadapan kami akan berangkat ke sana,” katanya kepada mStar Online.
Saharul dan Qaabila berkahwin pada 16 September lalu dalam upacara akad nikah yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dekat sini.
Dalam pada itu, berkongsi kehidupan selepas berkahwin, Saharul berkata, mereka kini masih dalam ‘mood’ percutian dan masih membiasakan diri dalam suasana baharu sebagai suami-isteri.
Bagaimanapun kata Saharul, kehadiran Qaabila banyak mengubah dirinya untuk menjadi seorang individu lebih baik selain urusan keperluannya lebih terjaga.
“Tiada banyak perubahan kerana kami pun baharu sahaja berkahwin dan masih dalam ‘mood’ pengantin baharu lagi tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya.
Ditanya soal anak, Saharul berkata, dia menyerahkan soal itu kepada rezeki dan berharap peminat mendoakan kebahagiaan dirinya dan isteri.
Dalam perkembangan lain, Saharul bakal muncul dengan telefilem menggandingkannya bersama Janna Nick, Dayana Roza, Raja Afiq dan Idris Khan yang berjudul Trauma.
Selain itu filem lakonannya, Hantu Rumah Sakit Jiwa bersama Fizz Fairuz dan Abam Bocey dijangka berada di pawagam pada penghujung tahun ini. – mStar Online
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment