JOHOR BAHRU – Lima modul hospital hadapan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiba di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi tadi bagi membantu hospital berkenaan dalam operasinya.
Modul itu akan dijadikan pusat rawatan sementara yang terdiri daripada wad, dewan pembedahan bergerak dan unit perkhidmatan pensterilan atau dekontaminasi (Unit Suchihama).
Tinjauan Bernama di HSA mendapati hujan lebat tidak menjadi penghalang kepada kerja-kerja pemasangan dan penyelarasan unit sementara itu.
Kerja-kerja pemasangan itu turut disaksikan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Datuk Dr Abd Razak Md Yusof dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Rooshaimi Merican A Rahim Merican yang dibawa melawat tapak meletakkan modul tersebut oleh pihak pengurusan HSA.
Semalam, Panglima ATM Tan Sri Zulkifeli Md Zain mengumumkan bantuan menyediakan ‘hospital bergerak’ termasuk satu unit dewan pembedahan kepada HSA.
Modul tersebut, yang akan berfungsi sebagai kawalan kerosakan dan menyelamatkan nyawa, ditempatkan berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma di bangunan induk hospital tersebut. – BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment