PEMILIK sebuah kereta mewah Lamborghini di Singapura bertindak memaafkan seorang remaja yang memperagakan aksi lasak dengan menunggang basikalnya di atas bumbung kereta mewah tersebut.
Video kejadian yang berlaku pada minggu lalu itu menjadi viral seterusnya mengundang rasa marah netizen terhadap perlakuan remaja tersebut.
Akhbar The New Time Paper (NTP) melaporkan, remaja terbabit, Izzadnaff Abdul Qusyairl, 15, terserempak dengan Lamborghini Gallardo berwarna kuning itu di luar Stadium Bedok ketika dalam perjalanan ke pusat permainan video dengan menaiki basikalnya.
Terpengaruh dengan satu video dalam YouTube yang menunjukkan aksi seorang penunggang basikal lasak melompat dan mengayuh di atas bumbung sebuah kereta, Izzadnaff mengambil keputusan untuk melakukan aksi sama.
“Apabila melakukannya, saya tidak pernah terfikir kesan perbuatan tersebut,”katanya kepada akhbar tempatan.
Video kejadian yang dirakam menerusi kamera yang dipasang di Lamborghini terbabit dikongsi oleh pemilik kereta itu di media sosial dan ditonton lebih 272,000 kali serta dikongsi sebanyak 3,800 kali selain menerima 350 komen.
Namun remaja berkenaan bernasib baik apabila pemilik Lamborghini berkenaan, Aaron Rylan Keder, 28, bertindak berhemah apabila sanggup memaafkan dan mengambil keputusan untuk tidak meminta ganti rugi daripada ibu bapa remaja berkenaan.
“Saya bertemu dengan keluarganya pada tengah hari Ahad dan kami menyelesaikan isu tersebut. Saya hanya mahukan penjelasan daripada Izzadnaff dan mengetahui perasaannya apabila mengayuh basikal di atas kereta saya.
“Saya juga mahu dia sedar perbuatannya itu adalah salah dan tidak mengulanginya,” kata Aaron.
Sebagai peminat tegar sukan basikal lasak, Izzadnaff telah menyertai banyak pertandingan sejak berusia tujuh tahun.
Dia juga menerima Biasiswa Peter Lim pada Mei iaitu dana sukan kepada mereka yang menghadapi masalah kewangan.
Apabila ditanya tentang kejadian tersebut, Izzadnaff berkata, dia berasa sangat kesal di atas perbuatannya.
“Saya benar-benar kesal atas kesalahan ini dan memohon maaf kepada Encik Aaron dan keluarga saya,” kata remaja berkenaan.
Sementara itu, ibu remaja berkenaan berkata dia sangat marah dengan kelakuan anaknya itu.
“Izzadnaff biasanya patuh pada arahan. Saya tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian pada hari tersebut.
“Dia sangat takut untuk mengakui kesalahannya tetapi saya memberitahunya bahawa memandangkan dia telah melakukan kesalahan, dia perlu berani untuk mengakui kesalahan,” katanya.
Menurut Azizah, dia cuba menghubungi Aaron menerusi laman Facebook tetapi tidak berbalas. Dia kemudian mendapatkan nombor telefon Aaron dari rakan Facebook peniaga itu dan menghubungi Aaron pada keesokan harinya.
Kedua-dua pihak kemudian bersetuju untuk mengadakan pertemuan menyelesaikan isu tersebut.
“Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku selepas itu tetapi saya mahu memastikan anak lelaki saya meminta maaf kepada pemilik kereta tersebut,” kata Azizah.
Sementara itu Aaron berkata, dia tahu remaja berkenaan benar-benar kesal atas perbuatannya itu selepas meminta maaf kepadanya.
“Budak tersebut (Izzadnaff) memiliki masa depan yang cerah dan saya tahu jika merosakkannya, tentu memberi kesan yang buruk.
“Terdapat banyak komen negatif yang diberikan netizen berhubung perkara ini dan saya berasakan kenyataan sedemikian tidak perlu.
“Izzadnaff memohon maaf kepada saya apabila kami bertemu. Saya tahu dia benar-benar kesal,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment