JOHOR BAHRU – Selepas 24 jam tragedi yang menggemparkan seluruh negara dengan meragut nyawa enam pesakit, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sekali lagi gempar dengan kebakaran.
Kali ini insiden tersebut melibatkan sebuah dewan bedah di tingkat satu bangunan induk hospital berkenaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari Rabu, menurut laporan beberapa portal berita tempatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh ketika ditemui pemberita mengesahkan tiada kemalangan jiwa malah tiada letupan dikesan sebaliknya menjelaskan ia hanya percikan api.
Sambil meminta masyarakat termasuk netizen media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi liar, beliau menyatakan bangunan utama telah dikosongkan dan semua bekalan elektrik dimatikan sebagai langkah waspada.
Suasana panik bermula apabila loceng penggera kecemasan berbunyi secara tiba-tiba dan beberapa saksi kejadian mendakwa ada melihat kepulan asap berbau hangit keluar daripada kawasan bilik pembedahan berkenaan.
Jentera pasukan bomba dan penyelamat dilihat bergegas memasuki kawasan tersebut untuk memadamkan api manakala setakat ini belum ada lagi sebarang maklumat mengenai punca kebakaran yang terbaharu berkenaan.
Kebakaran hari ini dipercayai bermula dari dewan pembedahan yang terletak di wad kecemasan dan trauma. Bagaimanapun keadaan dilaporkan adalah terkawal dan pihak polis turut memantau keadaan semasa.
Dalam pada itu, agensi berita rasmi Bernama pula melaporkan, semua petugas dan pesakit yang berada di dalam bangunan induk HSA telah pun diarahkan keluar ke kawasan selamat ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Difahamkan semasa kejadian, secara kebetulan hanya ada beberapa pesakit dan kakitangan HSA dalam bilik berkenaan, namun masih belum diketahui insiden baharu itu ada melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Laporan lebih lanjut menyusul kemudian.
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment