JOHOR BAHRU – Menangis tidak berhenti-henti, sentiasa cemas dan memohon dibenarkan pulang ke rumah secepat mungkin, antara pelbagai reaksi sebilangan pesakit Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang trauma selepas insiden kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital berkenaan pada Selasa.
Bagaimanapun, masuk hari ketiga (semalam) selepas kejadian yang meragut enam nyawa pesakit di wad kritikal itu, emosi rata-rata pesakit kini semakin pulih, kata seorang pakar psikologi.
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Sains Sosial, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Roslee Ahmad berkata berdasarkan ujian psikologi yang dilakukan, kadar kebimbangan terhadap tahap keselamatan mereka semakin menurun iaitu kepada tahap empat.
“Pada hari kejadian, tahap kebimbangan adalah pada tahap 10 dan ini menunjukkan pesakit bimbang dan trauma dengan keadaan yang menimpa mereka.
“Tahap normal adalah antara 0 hingga 1. Kami berusaha memberi kaunseling supaya mereka semakin tenang dan tidak mengingati kejadian ngeri yang menimpa mereka itu,” katanya kepada Bernama.
Dr. Roslee yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kaunseling berkata pihaknya telah menjalankan sesi kaunseling kepada enam pesakit termasuk dua anggota keluarga pesakit yang kini berada Wad Ortopedik sejak Rabu.
Pesakit-pesakit berkenaan pada hari kejadian berada di wad berdekatan dengan ICU yang terbakar itu, menurutnya.
“Meskipun mereka bukan pesakit dari bilik ICU yang terbakar, namun mereka turut terkesan dan trauma.
“Keadaan mereka semakin pulih dan kami pantau keadaan mereka dari semasa ke semasa. Syukur perkembangannya adalah positif,” katanya.
Wad Ortopedik adalah wad yang menempatkan pesakit-pesakit yang memerlukan penjagaan sebelum dan selepas pembedahan.
Seramai 15 kauselor iaitu tujuh daripada UTM dan selebihnya HSA sendiri ditugaskan untuk memberi kaunseling kepada pesakit-pesakit yang trauma akibat insiden itu.
Dalam kebakaran pada Selasa, seramai enam pesakit ICU maut. Seorang lagi pesakit, dua jururawat dan seorang pelatih fisioterapi cedera akibat terhidup asap dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata bangunan induk HSA ditutup sementara secara berperingkat bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pemeriksaan keselamatan termasuk pendawaian, struktur dan hal berkaitan, yang dijangka mengambil tempoh antara dua dan empat minggu.- BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment