Tinggal Kenangan: Kematian selebriti popular pada usia 27 tahun!

Ada yang mengatakan ia adalah sumpahan, ada juga yang menganggap ia adalah fenomena pop culture dan ada juga yang membantah dengan mengatakan ia hanyalah kebetulan semata-mata. Walaubagaimanapun anggapan mereka, kematian ramai pemuzik popular daripada Barat pada usia 27 tahun berbanding usia-usia yang lain memang mengujakan. Sekurang-kurangnya 34 orang pemuzik dan penyanyi daripada Hollywood berada dalam senarai buku yang disusun oleh Eric Segalstad. Buku yang dikenali sebagai The 27s: The Greatest Myth of Rock & Roll telah berada di pasaran sejak tahun 2008.
Terbaru, Amy Winehouse atau nama sebenarnya Amy Jade Winehouse dilaporkan meninggal dunia pada usia 27 tahun di kediamannya. Amy dilaporkan meninggal dunia akibat pengambilan dadah dan arak secara berlebihan dipercayai kerana mengalami kemurungan akibat putus cinta dengan kekasihnya, Reg Traviss.
Untuk kali ini, penulis akan menyusun beberapa orang pemuzik dan penyanyi berpengaruh yang riwayat hidup mereka berakhir pada usia 27 tahun. Daripada pemerhatian penulis, dadah dan arak adalah penyebab utama kematian mereka di usia yang agak muda. Kepada selebriti di Malaysia, jauhi dadah dan arak. Kedua-duanya sangat ‘membantu’ anda untuk mati pada usia yang cukup muda.
Amy Winehouse adalah 'anggota' terbaru yang meninggal dunia pada usia 27 tahun.


Brian Jones
Brian Jones dilahirkan pada 28 Februari 1942 di Cheltenham, England. Beliau meninggal dunia pada 3 Julai 1969 pada usia cukup muda iaitu 27 tahun. Beliau ditemui meninggal dunia di kolam pada lewat malam 3 Julai 1969.
Menurut kekasihnya, Anna Wohlin, ketika ditemui Brian Jones masih lagi bernyawa namun setelah doktor sampai, segala-gala telah terlambat. Brian Jones diistiyharkan meninggal dunia akibat nasib malang. Menurut laporan autopsi, jantung dan limpa Jones membengkak akibat dadah dan arak yang diminumnya.
Walaubagaimanapun, ramai yang masih mendakwa Brian Jones dibunuh berdasarkan beberapa bukti yang cukup kukuh. Suspek utamanya adalah Frank Thorogood. Sehingga kini, dakwaan Brian Jones dibunuh masih belum dapat dibuktikan di mahkamah tambahan pula suspek utamanya, Frank Thorogood telah pun meninggal dunia pada tahun 1994.
Brian Jones adalah bintang yang bergemerlapan pada dekadnya. Beliau adalah salah seorang daripada pengasas band lagenda, Rolling Stone pada tahun 1960-an. Bersama-sama Keith Richard dan Mick Jagger, beliau telah mempopularkan irama rock and roll yang diadunkan dengan melodi R&B. Brian Jones pada mulanya adalah pemimpin band ini namun disebabkan oleh masalah disiplin dan perlibatan beliau secara keterlaluan dengan dadah serta arak mengakibatkan beliau dilucutkan dan seterusnya diganti oleh Mick Jagger dan Keith Richard. Brian Jones adalah selebriti paling berbakat dalam band ini dengan kemahiran beliau bermain dengan pelbagai alat muzik serta berbakat dalam menulis lagu. Pada tahun 1969, Brian Jones telah dipecat daripada band ini kerana masalah dadah dan disiplin. Tiga minggu selepas insiden tersebut, Brian Jones ditemui meninggal dunia di kediamannya dalam keadaan menyayatkan hati. Brian Jones tersenarai antara selebriti popular yang meninggal dunia pada usia 27 tahun.
Brian Jones



Jimi Hendrix
Siapa yang tidak kenal dengan Jimi Hendrix. Beliau yang dilahirkan pada 27 November 1942 adalah gitaris paling hebat sepanjang zaman. Walaubagaimanapun, Jimi Hendrix atau nama sebenarnya, James Marshall Hendrix meninggal dunia pada usia yang cukup muda iaitu 27 tahun pada 18 September 1970. Jimi Hendrix diistiyarkan meninggal dunia akibat tercekik muntah sendiri akibat percampuran ubat tidur jenis Vesparax dengan wain merah. Jimi Hendrix juga dilaporkan mengambil 6 biji tablet Vesparax yang mana kebiasaannya orang dewasa normal akan mengambil separuh daripada sebiji tablet tersebut.
Pada zaman Jimi Hendrix, beliau bukan sahaja menempa nama sebagai selebriti tetapi juga bertanggungjawab memecahkan tembok selebriti yang kebiasaannya dikuasai oleh kaum kulit putih. Dengan kemahiran hebat sebagai pemetik gitar elektrik, beliau telah mempelopori beberapa teknik seperti penggunaan wah-wah pedal sepertimana yang dihasilkan untuk lagu Voodoo Child. Sehingga kini, teknik dan kemahiran Jimi Hendrix telah banyak diaplikasi dan diinovasi oleh pemuzik dan pemain gitar selepas daripada beliau.
Sepertimana Brian Jones, Jimi Hendrix adalah selebriti paling gemerlapan pada eranya namun disurami dengan penggunaan dadah dan arak. Beliau senasib dengan Brian Jones apabila tersenarai antara bintang-bintang popular yang meninggal dunia pada usia 27 tahun.
Jimi Hendrix


Janis Joplin
16 hari selepas kematian Jim Hendrix, selebriti yang semakin meningkat naik kemudiannya menyusul. Janis Joplin yang dilahirkan sebagai Janis Lyn Joplin pada 19 Januari 1943 telah menghembuskan nafas terakhir pada 4 Oktober 1970. Hasil autopsi menyatakan beliau mengambil terlebih dos dadah jenis heroin yang kemudiannya diburukkan lagi dengan arak yang diminumnya. Janis Joplin ditemui meninggal dunia di hotel penginapannya, Landmark Motor Hotel dalam keadaan terbaring di lantai.
Janis Joplin diperakaui pada zamannya sebagai antara pelopor muzik Rock and Roll wanita paling berpengaruh. Ketika di kemuncak kerjayanya, beliau digelar The Queen of Rock and Roll dan The Queen of Psychedelic Soul. Pada 2004, majalah popular, Rolling Stone meletakkan nama beliau di tangga ke-46 sebagai artis paling berpengaruh sepanjang zaman.
Perlibatan beliau dengan dadah dan arak telah mengharu-birukan kerjaya hebatnya. Sepertimana yang berlaku kepada Brian Jones dan Jimi Hendrix beberapa tahun sebelumnya, beliau meninggal dunia pada usia yang cukup muda akibat dadah dan arak. Kematiannya pada usia 27 tahun telah menyebabkan beliau tersenarai sebagai salah seorang daripada ‘ahli kelab 27’. Mayat Janis Joplin dibakar dan abunya kemudian diagih kepada keluarganya untuk urusan perkebumian.

Janis Joplin


Jim Morrison
Seorang lagi lagenda Rock and Roll yang meninggal dunia pada usia yang cukup muda. Jim Morrison atau nama sebenarnya, James Douglas Morrison adalah penyanyi utama band The Doors. Jim Morrison ditemui meninggal dunia pada 3 Julai 1971 di sebuah hotel di Paris oleh kekasihnya, Pamella Courson. Di sebalik kematiannya yang dikatakan mengambil terlampau banyak dadah jenis heroin, kematian Jim Morrison juga diselubungi dengan pelbagai konspirasi dan kontroversi. Tidak seperti selebriti lain, mayat Jim tidak dilakukan bedah siasat. Oleh yang demikian, sebab utama kematian Jim tidak pernah diketahui sehingga ke hari ini.
Jim dilahirkan dalam sebuah keluarga yang bahagia. Bapanya adalah seorang tentera manakala ibunya adalah suri rumah sepenuh masa. Namun, ia tidak menjamin untuk menjadikan Jim menjadi seorang yang bagus. Jim Morrison mula berjinak dengan dadah dan arak ketikamana beliau semakin meningkat dalam kariernya. Ketika di kemuncak kariernya sebagai penyanyi utama band The Doors, beliau diselubungi pelbagai kontroversi seperti insiden di Miami. Insiden di Miami menjadi titik hitam dalam karier beliau dan The Doors. Beliau yang ketika itu dipengaruhi dadah telah membangkitkan keriuhan dan rusuhan apabila melaungkan kata-kata provokosi dan liar seperti ‘Let’s see a little skin, let’s get naked dan “You’re all a bunch of fuckin’ idiots!”. Kes beliau turut disiasat oleh FBI.
Insiden kedua yang turut mengundang kontroversi adalah ketika menyanyi lagu Light My Fire di Ed Sullivan Show pada 17 September 1967. Jim Morrison berjanji akan menukarkan lirik “Girl we couldn’t get much higher” kepada “Girl we couldn’t get much better”. Namun, Jim Morrison gagal berbuat demikian. Pada akhir rancangan, Ed Sullivan enggan berjabat tangan dengan Morrison dan anggota band The Doors akibat terlampau kecewa dengan sikap biadap Jim Morrison. Jim Morrison juga dilaporkan mengherdik Ed Sullivan dan penerbit rancangan temubual popular tersebut di akhir rancangan.

Jim Morrison

Kurt Cobain
Pemuzik dan vokalis utama band Nirvana ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Kurt Cobain atau nama sebenarnya, Kurt Donald Cobain dilahirkan pada 20 Februari 1967 di Aberdeen, Washington, Amerika Syarikat. Beliau termasuk dalam ahli 27 Club kerana meninggal dunia pada usia yang cukup muda iaitu 27 pada 5 April 1994. Pengasas muzik grunge ini dilaporkan meninggal dunia kerana membunuh diri menggunakan pistol. Walaubagaimanapun, kontroversi disebalik kematiannya masih lagi menjadi perdebatan di kalangan peminat-peminatnya, termasuklah mengatakan isterinya, Courtney Love membunuh Cobain untuk merebut penjagaan anak dan harta.
Kurt Cobain pada tahun 1990-an adalah fenomena di persada seni dunia. Album kedua Nirvana iaitu Nevermind yang diterbitkan pada 1991 mencatatkan penjualan sehingga 30 juta salinan di seluruh dunia. Lagu Smells Like Teen Spirit yang dimuatkan dalam album itu menjadi siulan anak-anak muda di seluruh dunia. Sehingga kini, lagu yang dihasilkan oleh Nirvana dan Kurt Cobain masih lagi malar segar untuk didengar dan didendangkan.
Sepertimana nasib ahli kelab 27 yang lain, Kurt Cobain mengalami masalah dengan dadah dan arak yang sangat teruk. Beliau juga dilaporkan mengalami masalah kesihatan yang agak kritikal.
Menurut rakan-rakan Kurt Cobain, sewaktu remaja, Kurt pernah berkata kepada rakan-rakanya untuk menjadi salah seorang ahli kelab 27. Beliau bergitu terpengaruh dengan beberapa selebriti hebat seperti Jimi Hendrix, Jim Morrison dan ramai lagi pada era 1960 hingga 1970-an yang berakhir kehidupan mereka pada usia 27 tahun.
Kurt Cobain

Sebenarnya, di sebalik nama-nama besar yang dirakamkan dalam artikel ini, terdapat ramai lagi selebriti yang berakhir riwayat mereka pada usia 27 tahun. Antaranya adalah vokalis band Canned Heat dan sahabat akrab Jim Morrison, Alan Wilson yang berakhir riwayatnya pada usia 27 tahun pada 3 September 1970. Alan Wilson turut mengalami masalah berkaitan dadah yang akhirnya meragut nyawanya.
Selain daripada dadah dan arak yang menyelubungi kematian selebriti pada usia 27 tahun, terdapat juga daripada mereka mengalami kematian yang pelik sepertimana yang terjadi kepada gitaris band Stone the Crows, Leslie Harvey. Leslie Harvey meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik kerana tersentuh pembesar suara dengan keadaan tangannya yang basah. Ketika itu, Harvey sedang mengadakan persembahan bersama bandnya di Swansea. Harvey meninggal dunia pada 3 Mei 1972.

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story