Keluarga Upah Tiga Penyelam Profesional RM2.5 Juta

Keluarga Upah Tiga Penyelam Profesional RM2.5 Juta

LANGKAWI – Keluarga warga Brazil, Lucas Soares Bondezan, 24, yang hilang sejurus bot dinaiki terbakar di perairan Muka Head, Pulau Pinang sejak lebih sebulan lalu memutuskan menggunakan tiga penyelam profesional bagi mengesan mayat mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam bot.

Jurucakap keluarga mangsa, Justin Nicholas De Souza, 56, berkata, keluarga mereka memperuntukkan sehingga RM2.5 juta bagi usaha pencarian yang memasuki fasa kedua dan dipercayai bakal bermula dalam tempoh terdekat.
Katanya, sebanyak RM3 juta juga dibelanjakan bagi mengesan bukti sama ada mangsa masih hidup atau mati sebelum usaha pencarian bagi fasa kedua dimulakan.
“Bagaimanapun, kami perlu mendapat kebenaran daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti menyelam di kawasan kejadian,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, semalam.
De Souza berkata, tiga penyelam profesional itu ialah Weerawut Phetsawat, 38, dari Thailand dan Jakub Hejhal, 26, serta David Has, 52, kedua-duanya dari Republik Czech.
Katanya, walaupun keluarga mangsa belum menerima sebarang petanda positif mengenai penemuan mayat Bondezan, namun mereka masih menaruh harapan tinggi kepada kepakaran tiga penyelam terbabit.
“Walaupun pencarian agak sukar kerana tragedi itu sudah lama berlaku di kawasan laut terbuka yang mempunyai kedalaman kira-kira 50 meter, tetapi usaha akan terus dilakukan kerana itu adalah kehendak keluarga,” katanya yang mengakui sudah mengenali Bondezan sejak lebih enam tahun lalu.
Turut hadir pada sidang media itu ialah rakan mangsa yang juga kapten bot dinaikinya dalam tragedi itu, Rudolf Kolic, 61.
Dalam kejadian jam 1 pagi, 16 September lalu, Bondezan hilang selepas sebuah bot mewah dikenali UN1K rosak dan terbakar ketika dalam perjalanan dari Langkawi ke Singapura.
Selain Kolic yang berasal dari Croatia, dua lagi rakan mangsa, Novak Novakovic, 28, (Serbia) dan Jaroslav Horejsek, 37 (Republik Czech) berjaya diselamatkan nelayan tempatan. – myMetro Online




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story