Negeri Sembilan Laksana Pembenihan Awan Esok

pembenihan-awan

SEREMBAN – Negeri Sembilan akan melaksanakan proses pembenihan awan bermula esok berikutan taburan hujan diterima negeri berkurangan pada tahun ini sehingga kerajaan negeri bercadang melaksanakan catuan bekalan air berkala bermula minggu hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata proses pembenihan awan itu yang telah mendapat kelulusan Jabatan Meteorologi Malaysia, mungkin akan dilaksanakan sebanyak enam kali bergantung kepada jika ada jenis awan yang sesuai pada hari berkenaan.
“Pembenihan awan ini hanya boleh dilakukan jika ada awan yang sesuai iaitu awan komulonimbus yang boleh menjadi hujan. Kawasan utama yang kita minta supaya pembenihan awan dilakukan ialah di kawasan huluan iaitu Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol.
“Ini kerana tiga kawasan ini kurang mendapat taburan hujan pada tahun ini. Negeri Sembilan dijangka mengalami kekeringan kerana kurangnya taburan hujan dan setakat sekarang ini taburan hujan yang kita terima tak sampai 50 peratus daripada jumlah taburan hujan pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Mohamad berkata berikutan keadaan itu, Sungai Ulu Muar di Kuala Pilah misalnya mengalami kekeringan dan air Empangan Talang terpaksa dilepaskan untuk membolehkan lima Loji Rawatan Air di sepanjang sungai berkenaan dapat beroperasi untuk menampung permintaan domestik.
“Pun begitu kita tak boleh berterusan begitu kerana air Empangan Talang adalah air simpanan kita… kita perlukan hujan. Insya-Allah dengan adanya pembenihan awan itu, kita akan dapat taburan hujan yang banyak dan dapat meningkatkan paras air di sungai utama dan empangan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kali terakhir pembenihan awan dilaksanakan di negeri ini pada dua tahun lepas.
“Walaupun kos untuk melakukan pembenihan awan sangat mahal tetapi kami tiada pilihan kerana jika tidak mendapat taburan hujan yang mencukupi pada 2016, akan berdepan masalah (bekalan air),” katanya.
Ditanya mengenai cadangan catuan air berkala yang akan dilaksanakan terutama di Kuala Pilah, Jempol, Gemas dan Tampin, Mohamad berkata sepatutnya ia dimulakan pada minggu hadapan, namun ditangguhkan.
“Jika program (pembenihan awan) berjaya dan dapat taburan hujan yang baik, kita akan lihat dan kaji semula jadual untuk kita buat catuan berkala ini,” katanya. – BERNAMA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story