Kasanova Perdaya Lebih 20 Wanita Ditahan

Kasanova

GEORGE TOWN — Seorang lelaki yang disyaki memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman-laman web sosial dan mengaut lebih RM500,000 sejak 2001, akhirnya ditahan polis.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di rumah sewanya di Bukit Gambir di sini pada 4 Januari hasil risikan dan maklumat awam, kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial negeri, ACP Roslee Chik.
Beliau berkata, lelaki penganggur itu dikatakan menyamar sebagai doktor dan memperdaya wanita di beberapa negeri menerusi laman web sosial dengan menabur janji manis untuk mengahwini mereka.
“Mangsa kebanyakannya bekerja sebagai guru, jururawat dan sektor perkilangan serta berstatus bujang. Suspek biasanya akan menyakinkan mangsa dan turut bertemu ahli keluarga wanita berkenaan untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata selepas mendapat kepercayaan keluarga mangsa, lelaki itu memberi alasan kesempitan wang untuk mengadakan majlis perkahwinan dan memujuk mangsanya menyerahkan wang tunai, barang kemas sebelum menghilangkan diri.
Jelas beliau, hasil kegiatan selama lebih 10 tahun, lelaki yang telah berkeluarga dan mempunyai dua anak itu hidup mewah dan mampu menyewa rumah teres berharga RM1,800 sebulan.
Hasil serbuan di rumah suspek, polis menemui pelbagai jenis barang kemas bernilai hampir RM30,000, 49.40 gram logam dipercayai emas lebur, resit gadaian emas, jaket berlambang kementerian kesihatan, slip transaksi bank, tiga telefon bimbit dan lima kad sim.
Menurut Roslee, suspek yang berasal dari Taiping Perak dan mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan itu juga didapati menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu dan sering menukar nombor telefon bimbitnya. — BERNAMA
Foto: Utusan Online

0 comments:

Post a Comment

Loading...

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story