KWSP Perkenal Ciri Keselamatan Baharu

KWSP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan ciri terbaharu keselamatan data dalam perkhidmatan i-Akaun agensi tersebut iaitu TAC (Transaction Authorisation Code).
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, ciri baharu i-Akaun itu membolehkan ahli KWSP atau majikan yang terlupa id pengguna atau kata laluan mendapatkan kembali id pengguna dan kata laluan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Maklumat ke telefon bimbit pengguna yang didaftarkan ini untuk membolehkan urusan secara dalam talian (online) diteruskan dengan selamat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Nik Affendi berkata, orang ramai diseru menggunakan kemudahan i-Akaun yang menyediakan perkhidmatan 24 jam sehari untuk pelbagai urusan KWSP melalui penggunaan internet.
Jelas beliau, i-Akaun ini dapat mengurangkan keperluan ahli mengunjungi cawangan KWSP bagi urusan rutin dan dapat mengelakkan daripada mengharungi kesesakan lalu lintas.
Malah, katanya, KWSP akan mengadakan satu kempen pengiklanan bagi mempromosikan pelbagai ciri kemudahan dan pilihan yang terdapat dalam perkhidmatan i-Akaun.
Menurut beliau, kempen pengiklanan itu akan mula disiarkan di akhbar dan radio bermula 14 Januari ini hingga 7 Februari 2013 bagi meningkatkan minat dan kesedaran orang ramai untuk menggunakan i-Akaun.
I-Akaun membolehkan ahli menyemak penama simpanan KWSP dan memantau caruman KWSP bagi memastikan majikan membayar caruman dengan betul dan tepat serta mengemas kini alamat surat menyurat.
Ahli juga boleh mencetak penyata KWSP yang terkini dan untuk tahun sebelumnya, mendapatkan maklumat pengeluaran seperti status dan rekod pengeluaran ahli serta anggaran jumlah yang layak untuk dikeluarkan. – mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story